Pakej barangan asas RM20 'licin' dalam 25 minit

Ahmad Nazlan (kiri) melayan penduduk yang tidak melepaskan peluang membeli pakej barangan asas .
Ahmad Nazlan (kiri) melayan penduduk yang tidak melepaskan peluang membeli pakej barangan asas .
A
A
A

JERANTUT - Dengan harga RM20 setiap satu, pakej barangan asas laris terjual dalam tempoh kira-kira 25 minit di Taman Perumahan Kos Rendah 410 di sini pada Ahad.

Jualan kongsi rezeki itu hasil inisiatif Persatuan Usahawan Jerantut bagi membantu meringankan beban golongan B40 khususnya.

Penaung persatuan tersebut, Datuk Ahmad Nazlan Idris memberitahu, pakej itu merangkumi beras, minyak masak, gula, tepung dan susu.

"Harga beras lima kilogram saja lebih RM20. Jadi lebihan kos itu ditanggung oleh usahawan daerah ini yang ingin berkongsi rezeki dengan menyumbang mengikut keikhlasan mereka.

"Berdasarkan sambutan yang menggalakkan ini, kami akan meneruskan program ini di Kuala Tahan, Ulu Cheka dan Pulau Tawar pula untuk membantu penduduk khususnya menjelang musim Monsun Timur Laut ( MTL) yang tentu menjejaskan pendapatan mereka khususnya yang menoreh getah," kata beliau.

Seorang penduduk, Mohd Ali Mohd Sidek, 60, gembira dengan jualan itu yang disifatkan banyak membantu penduduk di taman tersebut.

Jualan kongsi rezeki ini adalah hasil inisiatif Persatuan Usahawan Jerantut bagi membantu meringankan beban golongan B40.
Jualan kongsi rezeki ini adalah hasil inisiatif Persatuan Usahawan Jerantut bagi membantu meringankan beban golongan B40.

"Saya harap lebih ramai lagi pihak lain turut berkongsi rezeki mereka dengan golongan susah kerana ia turut digalakkan oleh agama kita.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun pembelian dihadkan hanya satu pakej seorang, tetapi ia masih berbaloi kerana pembelian ini boleh menampung keperluan saya bersama empat ahli keluarga lain," ujar warga emas terbabit.

Bagi Maiziah Ali, 59, pula berkata, program ini membantu beliau menjimatkan kos perbelanjaan keluarganya.

"Saya dapat membeli barangan keperluan lain. Syukur dengan inisiatif sebegini dengan kebanyakan harga barangan meningkat," ujar Maiziah.