Harimau Malaya akan 'all out'

Cools (kanan) ketika sidang akhbar praperlawanan pada Isnin. - Foto FB FAM
Cools (kanan) ketika sidang akhbar praperlawanan pada Isnin. - Foto FB FAM
A
A
A

HARIMAU Malaya melaungkan amaran bahawa mereka akan turun habis-habisan ketika menentang Taiwan dalam dalam aksi kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taipei pada Selasa.

Kapten Malaysia, Dion Cools berkata, semua pemain juga sedar ia perlawanan penting buat pasukan kebangsaan dan perlu meraih tiga mata dalam perlawanan yang dijangka sukar itu.

"Ini perlawanan penting dalam enam perlawanan dan kami telah menang satu perlawanan (menentang Kyrgysztan). Semua pemain melakukan persiapan sehabis baik.

"Ini juga peluang terbaik untuk kami (untuk kukuhkan misi mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia) dan kami juga tahu esok perlawanan yang sukar.

"Kami percaya akan dapat capai keputusan positif dalam perlawanan ini dan akan 'all out' untuk menang," katanya dalam sidang akhbar praperlawanan pada Isnin.

Sebelum ini, Harimau Malaya mempamerkan kebangkitan dramatik untuk menundukkan pasukan di ranking ke-97 dunia, Kyrgysztan 4-3 dalam aksi pembukaan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil Khamis lalu.

Dalam pada itu, Cools tidak melihat para pemain negara berdepan tekanan susulan misi untuk meraih kemenangan di kandang lawan itu.

"Saya tidak rasa kami berdepan tekanan berlebihan kerana kami tahu kami mahu mencapai sesuatu dalam perlawanan ini. Apa yang penting segala persiapan terbaik sudah dilakukan," katanya.

Artikel Berkaitan: