Kami tidak akan pandang rendah pasukan Taiwan - Cools

Dion Cools - Foto: Bernama
Dion Cools - Foto: Bernama
A
A
A

MALAYSIA tidak akan memandang rendah keupayaan pasukan Taiwan walaupun pasukan itu berada pada ranking lebih rendah, dalam usaha Harimau Malaya mencatatkan kemenangan kedua perlawanan Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Taipei, Selasa ini.

Pemain pertahanan tengah, Dion Cools berkata, pada perlawanan itu, ranking tidak boleh digunakan sebagai ukuran, selepas sebelum ini skuad negara berjaya seri dengan dua pasukan berkedudukan 100 terbaik dunia iaitu Syria dan China.

"Bagi saya ranking dunia tidak menunjukkan apa-apa, kami telah kalahkan pasukan yang kedudukannya 30 lebih baik dari kami dan seri dengan pasukan berkedudukan 40 lebih baik... kita perlu hormati mereka (Taiwan), kerana mereka boleh kalahkan kita walaupun ranking kita lebih baik.

"Mereka juga akan berfikir mereka boleh kalahkan kita, jadi kita perlu hormati mereka, tetapi kita percaya kita boleh kalahkan mereka tetapi tidaklah boleh menjadi terlalu yakin,” kata pemain Buriram United berusia 27 tahun itu ketika ditemui semasa sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Sabtu.

Pada masa sama, beliau berkata, bermain di tempat lawan juga tidak merisaukan beliau, selepas pasukan negara mencatatkan rekod yang positif ketika menentang Syria dan China di Chengdu, pada September, namun mengakui ia akan menjadi perlawanan yang sukar.

Sementara itu, Cools berkata, pasukan perlu lebih fokus dan mengurangkan kesilapan yang tidak perlu ketika bertahan, jika mereka mahu mendapatkan tiga mata ketika bertemu Taiwan.

Malaysia pada ketika ini berkedudukan ke-137 dunia, manakala Taiwan di 152.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan rekod pada tiga perlawanan terakhir, Taiwan agak kuat di tempat sendiri dengan menang dua perlawanan termasuk pertemuan kali terakhir pada 2018, dan kalah sekali di Kuala Lumpur pada 2011.

Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan mereka dengan bergaya selepas mengalahkan pasukan pada kedudukan lebih tinggi Kyrgzstan 4-3, pada perlawanan pembukaan Kumpulan D di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.

Sementara itu, pemain bek kiri, Daniel Ting mahu berikan prestasinya yang terbaik, jika terpilih bermain pada Selasa hadapan, selepas masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua mengantikan Corbin Ong, ketika menentang Kyrgystan.

"Saya sentiasa mahu bermain, terutamanya dengan pasukan kebangsaan, kami bersama sebagai satu pasukan dan jika saya terpilih untuk bermain saya akan gembira, namun jika Corbin yang bermain, saya juga sukakannya selagi kami dapat keputusan dikehendaki,” kata pemain Sabah FC itu. - Bernama