Rekod Harimau Malaya bertandang ke Taipei 'menggerunkan'

Skuad Harimau Malaya ketika menjalani Sesi Kem Latihan sebagai persediaan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Wisma FAM Kelana Jaya. - Foto Bernama
Skuad Harimau Malaya ketika menjalani Sesi Kem Latihan sebagai persediaan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Wisma FAM Kelana Jaya. - Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIA berada di landasan tepat untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut ketika bertemu pasukan di ranking lebih rendah, Taiwan pada perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Taipei, Selasa ini.

Ia susulan kemenangan dramatik dilakar skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon selepas menumbangkan pasukan di ranking dunia jauh lebih tinggi iaitu Kyrgyzstan 4-3 pada aksi sulung kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lepas.

Kejayaan menewaskan pasukan ke-97 dunia yang diberi julukan The White Falcons itu memberi motivasi yang amat diperlukan Malaysia (ke-137) bagi mengharungi cabaran membawa pulang tiga mata penting berdepan Taiwan yang menghuni posisi ke-152.

Di atas kertas, Malaysia menjadi pilihan memenangi perlawanan di Stadium Perbandaran Taipei itu, namun sehingga wisel penamat dibunyikan, nasib menimpa Kyrgyzstan yang tewas kepada skuad Harimau Malaya meskipun berada di ranking lebih baik boleh terjadi kepada anak buah Pan Gon.

Berdasarkan rekod pertemuan dalam lima aksi terakhir sejak 2000, Taiwan kebal di gelanggang sendiri apabila memenangi tiga perlawanan termasuk pertembungan terakhir pada 2018 sementara tewas dua kali ketika berkunjung ke sini.

Malah, skuad Blue Wings itu belum kalah dalam tiga aksi di laman sendiri tahun ini apabila mengikat dua pasukan di ranking lebih tinggi masing-masing Thailand 2-2 dan Filipina (1-1) pada aksi persahabatan, selain merakam satu kemenangan ke atas Timor-Leste 4-0 pada aksi playoff kelayakan Piala Dunia.

Taiwan yang dibimbing Gary White hanya tewas dua kali tahun ini selepas tumpas di tangan Singapura 1-3 pada aksi persahabatan dan Oman (0-3) pada aksi sulung Kumpulan D pusingan kelayakan Khamis lepas, kedua-dua aksi itu berlangsung di gelanggang lawan.

Tiga kemenangan yang dicatat Taiwan selain kejayaan membenam Timor-Leste 4-0 adalah ketika menumpaskan pasukan lawan itu 3-0 pada aksi timbal balik playoff pusingan kelayakan, selain menewaskan Filipina 3-2 pada satu lagi aksi persahabatan di Manila.

Artikel Berkaitan:

Selepas tumbang pada aksi pembukaan, Taiwan pasti memburu kemenangan berdepan Malaysia atau sekurang-kurangnya keputusan seri untuk menghidupkan peluang dalam kempen pusingan kelayakan.

Malaysia pula hanya mencari tiga mata dalam perlawanan itu memandangkan ia adalah satu daripada dua aksi getir wajib menang di tempat lawan, selain bertandang ke Kyrgyzstan tahun depan, dalam misi mencipta sejarah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia buat julung kali.

Pan Gon dijangka tidak menghadapi masalah menyenaraikan skuad terkuat pada perlawanan itu kerana kesemua pemain negara bebas daripada kecederaan serius setakat sesi latihan terakhir di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya semalam.

Bagaimanapun, para pemain yang diturunkan mesti memberikan tumpuan sepenuhnya dan tidak memandang rendah keupayaan lawan yang mampu menghukum kealpaan pasukan negara bila-bila masa.

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi berpeluang meneruskan rentak cemerlangnya selepas mencuri tumpuan dengan melakukan empat bantuan gol ketika mengalahkan Kyrgyzstan.

Selepas aksi menentang Taiwan, Malaysia dijadual berdepan pasukan di ranking ke-72, Oman di tempat lawan pada 21 Mac tahun depan dan melayan kunjungan pasukan itu pada 26 Mac di tanah air, diikuti Kyrgyzstan (6 Jun) di tempat lawan dan bertemu Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun. - Bernama