PDC buat pindaan surat tawaran penjualan tanah

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah membuat pindaan serta-merta ke atas semua surat tawaran berhubung penjualan tanah agar konflik penjualan tanah di Byram, Batu Kawan tidak berulang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pindaan itu dibuat dengan meletakkan klausa berkaitan perubahan saham syarikat sebelum menandatangani perjanjian.

"Tiada kelemahan atau kesilapan dalam proses dan prosedur penjualan tanah kepada UMECH Land Sdn Bhd. Prosedur penjualan tanah adalah selaras dengan amalan PDC selama ini iaitu sama ada secara tender terbuka, Request For Proposal (RFP) atau rundingan terus.

"Dalam hal UMECH, penjualan adalah secara rundingan terus hasil usaha promosi yang dijalankan oleh PDC di Ekspo Dubai 2020 yang telah berlangsung pada 16 sehingga 23 Januari 2022.

"Pemilihan UMECH Land Sdn Bhd juga melalui proses yang panjang dan telus berdasarkan punca kuasa yang telah ditetapkan. Bagaimanapun, isu perubahan saham oleh pihak UMECH Land Sdn Bhd yang berlaku sebelum menandatangani perjanjian adalah perkara yang didapati pertama kali berlaku tanpa sebarang makluman daripada pihak syarikat itu kepada PDC," katanya.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) berhubung isu penjualan tanah di Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP2) di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Isnin.

Kon Yeow menambah, syarikat berkenaan adalah satu-satunya syarikat yang menunjukkan minat untuk menjalankan perniagaan di Pulau Pinang.

"Sebelum penyertaan Ekspo Dubai 2020, hebahan dan promosi berkaitan projek-projek yang akan dibawa telah dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Projek-projek tersebut juga telah mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Lembaga PDC," katanya.

Tambah beliau, peranan dan tanggungjawab PDC dalam usaha membangunkan BKIP2 selain daripada menjual tanah antaranya memantau pelaksanaan projek berdasarkan jadual yang ditetapkan di dalam surat perjanjian dan bekerjasama dalam usaha penilaian dan pemilihan pelabur.

"Selain itu, PDC juga bertanggungjawab dalam kerjasama berhubung urusan kelulusan pelan-pelan pembangunan dan menguruskan permohonan pemberian milik dan pajakan kepada pelabur," katanya.

Sebelum ini, Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC) telah mempertikai penjualan tanah seluas 223.6 hektar di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan dijual kepada sebuah syarikat tanpa melalui tender terbuka.

Susulan itu, Kon Yeow telah mempertahankan urus niaga menerusi rundingan terus yang dimeterai dengan UMECH Construction Sdn Bhd.

Kon Yeow berkata, PDC telah membawa cadangan projek Taman Perindustrian di Byram ke Expo Dubai 2020 untuk mendapatkan pelabur yang berminat.

Bagaimanapun, Lembaga PDC telah mengumumkan perjanjian usaha sama dengan pihak UMECH Land Sdn Bhd telah ditamatkan susulan perubahan majoriti struktur ekuiti syarikat UMECH Land Sdn Bhd dalam isu pembelian tanah di Byram, Batu Kawan.

Menurut PDC, perubahan majoriti struktur ekuiti syarikat UMECH Land Sdn Bhd itu juga disifatkan sebagai satu tindakan yang tidak boleh diterima.

Oleh yang demikian, selepas penamatan kontrak, PDC diarahkan untuk mengiklankan secara meluas dengan menggunakan pelbagai saluran media massa melalui RFP.