Anak pokok bunga sundal malam, ros dirampas

Pegawai Maqis menunjukkan sebahagian daripada anak pokok yang dirampas oleh PGA Batalion 7 dan diserahkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.
Pegawai Maqis menunjukkan sebahagian daripada anak pokok yang dirampas oleh PGA Batalion 7 dan diserahkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Tindakan pengimport anak pokok komersial dan hiasan membawa masuk 1,961 anak pokok ke negeri ini melalui pangkalan haram Limau Purut gagal apabila berjaya dihidu pihak berkuasa, semalam.

Dalam kejadian tersebut, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas sejumlah 481 anak pokok seperti mata kucing, bunga ros, sundal malam dan bonzai dari Thailand tanpa permit sah sekitar jam 5.15 petang.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati kegiatan itu dilakukan segelintir pengimport bagi mengaut keuntungan lebih dengan cara mudah.

"Semua barang rampasan berkenaan ditahan kerana hasil pertanian itu berada di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)," katanya.

Kesemua barangan rampasan bernilai RM1,000 serta sebuah lori kemudiannya diserahkan kepada Maqis Kelantan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu dalam kes berasingan, Mohd Azam berkata, pada hari sama, pihaknya turut menerima serahan kes daripada PGA Batalion 7 melibatkan rampasan 1,480 pelbagai jenis anak pokok seperti kelapa pandan, limau nipis, avocado dan anak pokok kemboja.

Beliau berkata, anak pokok terbabit dibawa masuk ke Malaysia dari Thailand melalui Sungai Golok tanpa sebarang dokumen sah, dipercayai untuk pasaran tempatan.

Katanya, kedua-dua kes akan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Artikel Berkaitan:

“Mengikut akta itu, barangan diimport dan dieksport perlu mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan Maqis bagi memastikan kawalan penyakit ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan," katanya.