KPT runding pengecualian yuran pelajar Palestin di universiti swasta

Khaled Nordin - Foto SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Khaled Nordin - Foto SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memuktamadkan cadangan pengecualian yuran pengajian 200 pelajar Palestin yang sedang menuntut di universiti swasta di Malaysia dalam waktu terdekat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu masih dalam rundingan namun pihak-pihak terlibat memberikan reaksi positif.

Katanya, cadangan pengecualian untuk tempoh setahun itu juga bukan paksaan daripada pihak kementerian.

“Ada banyak pandangan dan mereka bersedia untuk bersama-sama kerana bersimpati dengan keadaan yang menimpa warga Palestin.

“Kita memang tak paksa tetapi percaya mereka sangat prihatin dan akan perkara ini akan dimuktamadkan nanti,” katanya selepas merasmikan Sambutan 40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) (1983-2023) di Kubang Kerian di sini, pada Ahad.

Kakitangan yang hadir pada Majlis Perasmian Sambutan 40 Tahun Hospital USM di Kubang Kerian pada Ahad.
Kakitangan yang hadir pada Majlis Perasmian Sambutan 40 Tahun Hospital USM di Kubang Kerian pada Ahad.

Turut hadir, Pengarah Hospital USM, Profesor Datuk Dr Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman dan Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.

Mohamed Khaled berkata, pada masa sama pihak kementerian itu turut akan mengumumkan beberapa bantuan kepada pelajar berkenaan bagi membantu meringankan bebanan yang dihadapi.

Artikel Berkaitan:

“Setiap universiti memang ada tabung-tabung kebajikan dan sebahagian besarnya akan gunakan memastikan kebajikan pelajar terjaga.

“Apabila sampai masa, saya akan umum juga berapa bantuan kepada mereka,” kata beliau.

Sebelum ini, KPT bersetuju mengecualikan yuran pengajian lebih 600 pelajar Palestin yang sedang menuntut di universiti awam di negara ini bagi tempoh setahun berkuat kuasa serta-merta.