13 rakyat Malaysia di Iran enggan pulang, tandatangan indemniti

Mohamad
Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 13 rakyat Malaysia masih berada di Iran dan memilih untuk tidak pulang ke tanah air.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mereka yang terlibat termasuk beberapa orang pelajar dan sudah diberi nasihat beberapa kali untuk pulang ke tanah air.

“Ada yang tak nak balik, jadi 13 ini masih berada di Iran dan kita sudah minta mereka menandatangani surat indemniti bahawa mereka tidak boleh menyalahkan kerajaan kerana kita mahu membawa mereka pulang, tetapi mereka tidak mahu balik atas kerelaan sendiri.

“Saya nak minta supaya rakyat Malaysia jangan pergi ke sana (Iran). Sudah dua kali nasihat perjalanan diberikan supaya tidak ke sana sekiranya tiada urusan penting.

“Tetapi rakyat Malaysia degil, ada juga yang pergi. Jangan pergi ke sana kerana dalam keadaan sekarang ini apa juga kemungkinan boleh berlaku. Bila berlaku akan menyusahkan kita,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang meminta beliau menyatakan pelan evakuasi dan kecemasan buat rakyat Malaysia di Iran serta jumlah rakyat negara ini yang masih berada di negara berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamad (BN-Rembau) memaklumkan bahawa Wisma Putra telah memanggil pulang pegawai dan Duta Malaysia di Tehran pada Januari lalu.

“Kita tidak sebut pelan evakuasi kerana sudah membuat perancangan awal. Saya telah mengarahkan keluarga diplomat Malaysia di Tehran untuk keluar dan seramai 11 orang telah dibawa keluar pada 18 Januari lalu.

“Yang tinggal pada ketika itu cuma pegawai dan duta seramai lima orang dan pada 2 Februari lalu, kita sudah memanggil mereka pulang. Kita tidak panggil evakuasi, kita guna perkataan perundingan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seramai 13 rakyat Malaysia masih berada di Iran memilih untuk tidak pulang ke tanah air
  • Mereka termasuk beberapa pelajar dan sudah diberi nasihat untuk pulang
  • Telah diminta menandatangani surat indemniti sebagai pengakuan tidak akan menyalahkan kerajaan kerana memilih untuk tidak pulang
  • Menteri Luar menasihati rakyat Malaysia untuk tidak pergi ke Iran
  • Wisma Putra memanggil pulang pegawai dan Duta Malaysia di Tehran pada Januari lalu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!