Guru agama ditahan disyaki rotan murid dengan paip PVC

Pelajar terbabit dibawa ke klinik untuk membuat pemeriksaan oleh keluarga angkatnya. Tanda lebam di bahagian punggung dan badan pelajar terbabit. - Foto Media sosial
Pelajar terbabit dibawa ke klinik untuk membuat pemeriksaan oleh keluarga angkatnya. Tanda lebam di bahagian punggung dan badan pelajar terbabit. - Foto Media sosial
A
A
A

SIK - Seorang guru agama ditahan polis selepas disyaki merotan seorang pelajarnya di beberapa bahagian badan dengan menggunakan batang paip polyvinyl chloride (PVC) dua minggu lalu.

Kejadian yang berlaku di sebuah sekolah madrasah dekat sini menyebabkan murid berusia lapan tahun itu mengalami lebam di punggung dan pinggang.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, polis telah menahan seorang lelaki yang merupakan tenaga pengajar di sekolah terbabit.

Menurutnya, penahanan suspek berusia 27 tahun itu dilakukan selepas tidak sampai 24 jam laporan dibuat ibu angkat mangsa pada jam 9.24 malam, 11 November lalu.

"Pengadu seorang pengusaha taska di Pulau Pinang mendakwa datang ke madrasah tersebut secara mengejut untuk membawa anak angkatnya yang merupakan kanak-kanak warganegara Indonesia untuk makan. Sebaik tiba di kedai makan, anak angkatnya itu mengadu sakit semasa duduk.

"Pengadu kemudiannya terkejut melihat kesan lebam pada tubuh mangsa dan terus datang ke Balai Polis Sik untuk membuat laporan.

"Susulan itu, kira-kira jam 10.38 pagi keesokan harinya, sepasukan polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun yang merupakan tenaga pengajar di madrasah tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas Abdull Razak, siasatan awal mendapati suspek menggunakan sebatang paip pvc yang mengakibatkan mangsa mengalami lebam serta bengkak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemeriksaan pakar perubatan mengesahkan mangsa mengalami 'soft tissues injuries' dan suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hingga 16 November manakala kes dirujuk kepada timbalan pendakwa raya negeri.

"Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan lelaki itu didapati tidak mempunyai rekod lampau," ujarnya.

Sebelum itu, tular perkongsian ibu saudara kepada kanak-kanak terbabit berhubung kejadian berkenaan.

Pada hari kejadian katanya, kanak-kanak terbabit hanya berdiri di kedai makan dan enggan duduk sebelum ibu angkatnya melakukan pemeriksaan.

"Menggigil kakak dan emak saya (nenek angkat mangsa) apabila tengok kesan rotan. Ini bukan biasa-biasa dan kakak terus hubungi pihak sekolah. Tetapi pihak sekolah tak mengaku salah sebaliknya menyalahkan anak angkat kakak saya itu kerana katanya dia nakal.

"Memang dia agak nakal dan aktif malah keluarga juga ada marah serta rotan (untuk mendidik). Tetapi apa yang dilakukan ini nampak bukan seperti rotan atau denda biasa kerana kalau dikira-kira pada tubuh badan, mungkin 16 sebatan atau lebih dan alat digunakan bukan rotan biasa sebaliknya batang paip," katanya dalam perkongsian berkenaan.