Amuk gara-gara hubungan cinta tidak direstui keluarga

Seorang lelaki bertindak mengamuk dengan menggunakan sebilah parang di sebuah rumah di Jalan 10 Pandan Jaya, dekat sini sebelum diberkas pada Rabu. - Gambar hiasan
Seorang lelaki bertindak mengamuk dengan menggunakan sebilah parang di sebuah rumah di Jalan 10 Pandan Jaya, dekat sini sebelum diberkas pada Rabu. - Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Berang hubungan bersama kekasih tidak direstui keluarga, seorang lelaki bertindak mengamuk dengan menggunakan sebilah parang di sebuah rumah di Jalan 10 Pandan Jaya, dekat sini sebelum diberkas pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian jam 4.30 petang pada 1 November lalu itu, suspek bertindak menghentak kaki mangsa yang merupakan abangnya dengan sebilah parang.

"Suspek turut mengejar ibunya dengan parang menyebabkan wanita terbabit lari bagi mendapatkan perlindungan di rumah jiran.

"Suspek yang berumur 19 tahun dan tidak bekerja itu berjaya ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, kira-kira jam 7 petang pada Rabu.

"Turut dirampas parang yang dipercayai digunakan ketika kejadian," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek memiliki beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati terhadap keluarga kerana melarang suspek berkawan dengan seorang wanita.

"Kes disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: