Perpindahan Fabinho ke Al-Ittihad tertangguh gara-gara anjing

Fabinho
Fabinho
A
A
A

PERPINDAHAN pemain tengah, Fabinho dari Liverpool ke kelab Arab Saudi, Al-Ittihad dilaporkan tertangguh kerana baka anjing peliharaanya.

Fabinho dilaporkan mempunyai dua ekor anjing jenis French bulldog dan baka tersebut tidak dibenarkan masuk ke negara terbabit kerana dikategorikan sebagai berbahaya serta agresif.

Pemain antarabangsa Brazil itu menjadi pemain bintang seterusnya dari saingan Liga Perdana Inggeris melakukan perpindahan lumayan ke Timur Tengah, tetapi dia kini sedang mendapatkan penjelasan sama ada boleh membawa anjingnya sebelum menandatangani kontrak tersebut.

Dalam dokumen yang tular di Twitter menyatakan bahawa anjing hanya dibenarkan masuk ke Arab Saudi jika digunakan untuk memburu dan berkhidmat sebagai anjing pengawal.

Liverpool berada di tengah-tengah pembinaan semula bahagian tengah utama oleh pengurus pasukan itu Jurgen Klopp.

Bekas bos Borussia Dortmund itu membenarkan Naby Keita, Alex Oxlade-Chamberlain dan James Milner meninggalkan pasukan dan merekrut pemain baharu iaitu Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai.

Bagaimanapun, minat Saudi terhadap Jordan Henderson dan Fabinho telah mendorong The Reds untuk menilai semula pilihan mereka dan melihat untuk menandatangani pemain baharu.