NACP 2019-2023 belum capai sasaran bebas rasuah

Sasaran Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP 2019-2023) dalam usaha membebaskan negara daripada jenayah rasuah masih belum tercapai. (Gambar kecil dari kiri: Zairudin Hashim, Hamdan Daniel)
Sasaran Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP 2019-2023) dalam usaha membebaskan negara daripada jenayah rasuah masih belum tercapai. (Gambar kecil dari kiri: Zairudin Hashim, Hamdan Daniel)
A
A
A

SHAH ALAM - Sasaran Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP 2019-2023) dalam usaha membebaskan negara daripada jenayah rasuah masih belum tercapai.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara merudum dan banyak inisiatif pelan tersebut tidak diselesaikan sepenuhnya.

Menurutnya, Malaysia pernah mencapai kedudukan CPI terbaik dalam tempoh 25 tahun sebelum ini tetapi selepas itu kedudukan Malaysia dilihat menurun.

“Perkara tersebut mungkin disebabkan ketidakstabilan kerajaan, selain perubahan terhadap pemerintahan negara sejak 2020,” katanya kepada Sinar Ahad.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis mengumumkan bakal melancarkan Strategi Antirasuah Nasional 2024-2029 (NCAS 2024-2029) pada pertengahan tahun depan bagi menggantikan NACP 2019-2023 yang akan tamat hujung tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pelan baharu itu akan lebih memfokuskan kepada keberkesanan pencegahan rasuah, meningkatkan tata kelola dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

Tambah Zairudin, pelan baharu itu penting bagi memastikan sasaran negara untuk berada di tangga 25 terbaik CPI dalam tempoh 10 tahun yang akan datang.

Ujarnya, CPI bukan sekadar tangkapan dan pendakwaan rasuah tetapi juga melibatkan pengukuhan demokrasi, keazaman politik, hak asasi manusia, daya saing ekonomi, penguatkuasaan serta amalan tata kelola yang baik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Rasuah Busters Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel turut senada bahawa NACP 2019-2023 masih memerlukan penambahbaikan menerusi pelan baharu yang bakal dilancarkan.

Ujar beliau, sebelum ini terdapat beberapa kes yang mencalarkan imej SPRM, justeru pelan NACS 2024-2029 akan memberikan tekanan lebih tinggi.

“Ini bukan alasan untuk menafikan usaha dalam pelaksanaan pelan baharu tersebut tetapi pihak berkuasa harus lebih fokus dan menunjukkan komitmen penuh berbanding sebelum ini.

“Ia bukan perkara mudah, namun dengan usaha berterusan pasti akan membuahkan hasil,” kata beliau.