#JanganGadaiPrinsip: Beri undi kepada calon yang bebas rasuah

Gambar kecil dari kiri: Tharma Pillai, Hamdan
Gambar kecil dari kiri: Tharma Pillai, Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM - Pengundi pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN), disaran untuk memberi undi mereka kepada calon yang mempunyai integriti tinggi dan bebas daripada rasuah.

Pengasas dan Pengarah Advokasi Undi18, Tharma Pillai berkata, bagi melihat Malaysia yang lebih baik, pengundi di PRN berkenaan perlu membuat pilihan yang tepat dan bijak dengan memilih mereka yang benar-benar mempunyai kelayakan dan berkredibiliti.

Susulan itu katanya, beliau menyambut baik saranan kempen Rasuah Busters #Jangan Gadai Prinsip menjelang PRN ini dalam merealisasikan matlamat Malaysia bebas daripada rasuah.

"Saya menyokong kempen oleh Rasuah Busters. Dan saya menyeru pengundi, terutamanya pengundi muda, untuk memilih calon yang berintegriti dan berkualiti, serta dengan parti dengan pimpinan yang bebas daripada rasuah," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Hari pengundian bagi PRN akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan.

PRN melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

PRN membabitkan enam negeri itu dianggar membabitkan peruntukan sebanyak RM420 juta.

Tambahnya, pengundi juga diseru untuk menolak perlakuan politik wang ketika berhadapan dengan PRN nanti kelak.

"Jangan gadai prinsip dan masa depan, demi sedikit wang saku atau pun duit minyak daripada ahli politik. Tolak politik wang," katanya lagi.

Sementara itu Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, kempen #Jangan Gadai Prinsip berkenaan hadir tepat pada masanya.

Serunya, pengundi pada PRN nanti tidak termakan dengan 'suapan' oleh calon-calon yang bakal bertanding nanti.

"Kita mahu melihat Malaysia yang lebih baik, jadi saya rasa inilah masanya. Pengundi diharap sangat supaya memilih calon yang bersih, semak calon tersebut, jangan sampai kita salah memilih," katanya.

Jelasnya, perubahan besar akan berlaku sekiranya calon yang dipilih itu merupakan mereka yang bersih.

"Jika kita pilih pemimpin yang baik, Insya-ALLAH akan berlaku banyak perubahan yang positif di negara kita.

"Malaysia saya yakin akan menjadi negara yang sejahtera dan dinamik jika kita dipimpin oleh mereka yang benar-benar menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan baik," katanya lagi.