[VIDEO] 'Saya datang untuk berperang' - Raja Affandi

A
A
A

KEMAMAN - Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyifatkan pertarungan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman kali ini bagaikan medan perang tetapi dalam situasi yang berbeza.

Raja Mohamed Affandi yang juga calon Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa beliau membawa misi penting untuk memenangi PRK Kemaman.

Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ketika diumumkan sebagai calon di Pusat Penamaan Calon PRK Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada Sabtu.- Foto: Bernama
Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ketika diumumkan sebagai calon di Pusat Penamaan Calon PRK Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada Sabtu.- Foto: Bernama

"Jadi ketika masuk ke dalam (dewan penamaan calon) tadi, saya rasa satu medan untuk perang balik. Ia berperang dalam bentuk yang lain.

"Saya rasa dengan medan yang baik dan lebih terurus maka tidak mustahil kita akan alirkan warna biru (kemenangan BN) di Kemaman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hari penamaan calon bagi PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman dekat sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Raja Mohamed Affandi juga menyatakan fokus beliau ketika ini untuk mendapatkan kemenangan bagi menjadi wakil rakyat di kawasan Parlimen Kemaman.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sebagai anak Kemaman fokus beliau adalah untuk menabur bakti kepada penduduk di kawasan tersebut.

Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor beramah mesra bersama penyokong BN di Pusat Penamaan Calon PRK Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada Sabtu. - Foto: Bernama
Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor beramah mesra bersama penyokong BN di Pusat Penamaan Calon PRK Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada Sabtu. - Foto: Bernama

"Saya katakan Kemaman untuk orang Kemaman. Saya balik ke sini sebagai orang Kemaman dan akan berbakti pada orang Kemaman sebab saya orang Kemaman.

"Fokus saya satu sahaja iaitu untuk menang. Yang lain itu adalah kaedah dan cara untuk dapatkan kemenangan," ujarnya.

Raja Mohamed Affandi akan dicabar Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam pertandingan satu lawan satu.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (dua dari kanan) beramah mesra bersama penyokong BN. - Foto: Bernama
Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (dua dari kanan) beramah mesra bersama penyokong BN. - Foto: Bernama

Ia selepas pihak pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada pilihan raya itu.

Pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.

PRK Kemaman dijangka menelan belanja RM3.5 juta, melibatkan 2,102 petugas dan 49 pusat mengundi yang mengandungi 244 saluran.

Parlimen ini mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober, merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.