PRK Kemaman: Ahmad Samsuri tak perlu letak jawatan MB - Abdul Hadi

Abdul Hadi (tiga dari kanan) bersama Ahmad Samsuri (dua dari kanan) serta kepimpinan Perikatan Nasional selepas proses penamaan calon PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, Chukai pada Sabtu.
Abdul Hadi (tiga dari kanan) bersama Ahmad Samsuri (dua dari kanan) serta kepimpinan Perikatan Nasional selepas proses penamaan calon PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, Chukai pada Sabtu.
A
A
A

KEMAMAN - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, tiada keperluan untuk Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meletakkan jawatan Menteri Besar walaupun bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Menurutnya, perkara itu adalah amalan biasa dalam sistem demokrasi.

"Ada beberapa Menteri Besar yang menjadi ahli Parlimen seperti Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan Pulau Pinang (Chow Kon Yeow). Saya pun pernah, itu amalan biasa.

"Tiada keperluan untuk beliau meletak jawatan. (Saya percaya) kita akan lihat perubahan politik akan berlaku.

"Kita pilih Ahmad Samsuri kerana nak menambahkan kekuatan Perikatan Nasional. Insya-ALLAH, parti akan berusaha mendapat majoriti lebih besar lagi berbanding PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, Chukai pada Sabtu.

Pada Jumaat, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mencabar Ahmad Samsuri meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu untuk fokus kepada PRK Kemaman.

Sementara itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengakui, Pas bakal berdepan cabaran besar dalam PRK kali ini kerana percaya BN dan Pakatan Harapan akan mengerahkan seluruh kekuatan dan jentera untuk bertarung di Kemaman.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya (mungkin) akan berlaku 'double standard'. Namun, rakyat Kemaman masih memberi dukungan besar kepada wakil rakyat negeri yang ada dan akan meneruskannya untuk calon Parlimen pula.

"Ahli Parlimen yang menang dahulu (Che Alias Hamid) keuzuran dan tarik diri. Jadi, kita kemukakan calon baharu. Insya-ALLAH, dengan usaha jentera parti PN, akan memberi undi yang lebih daripada pilihan raya lalu.

"Kemaman pernah ada dua Menteri Besar iaitu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Datuk Seri Ahmad Said, tapi masih ada isu. Ini menandakan ia tidak dapat diselesaikan lagi," jelasnya.