Tarik pelabur asing, tingkat ekonomi

Poster rasmi World #QuranConvention yang akan diadakan pada 2 Disember akan datang.
Poster rasmi World #QuranConvention yang akan diadakan pada 2 Disember akan datang.
A
A
A

SHAH ALAM - Tourism Selangor menyambut baik dan menyokong program World #QuranConvention yang memberi manfaat kepada industri pelancongan di negeri Selangor.

Konvensyen bertaraf antarabangsa tersebut yang dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) akan berlangsung di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA Sepang jam 8 pagi hingga 7 petang 2 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, program tersebut dapat menarik tumpuan pelabur, pelancong, peniaga serta ahli-ahli akademik melalui mesyuarat, insentif dan persidangan dan pameran.

Azrul Shah Mohamad
Azrul Shah Mohamad

“Selain itu, ia juga berpotensi menarik minat pelaburan langsung asing (FDI) yang mampu meningkatkan ekonomi negeri Selangor,” katanya.

Katanya, Tourism Selangor yang menyertai reruai di konvensyen itu dapat mempromosikan pelbagai produk pelancongan di Selangor.

“Ini termasuk pusat pelancongan berkonsepkan pendidikan serta Islamik. Terdapat banyak institusi pendidikan yang berpusat di negeri ini dan menjadi tumpuan serta pilihan pelajar luar negara.

“Selangor menjadi negeri pilihan utama pelawat domestik dua tahun berturut-turut dengan merekodkan kedatangan lebih 22 juta orang tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Ini membuktikan kelebihan dan kemampuan negeri ini dalam menawarkan pelbagai tarikan dan hospitaliti kepada pelancong,” ujarnya.

Menurutnya, Tourism Selangor tertarik dengan tema Serve To Be Served berpandukan Surah Al-Insan pada program itu.

“Surah tersebut menekankan layanan baik terhadap manusia lain. Ini merupakan nilai utama bagi pihak Tourism Selangor dalam memberikan hospitaliti terbaik kepada pelancong domestik dan antarabangsa yang berkunjung ke Selangor,” katanya lagi.

Tambah beliau, hospitaliti dalam konteks industri pelancongan memfokuskan kepada layanan dan tawaran kepada para pelancong di pusat penginapan, penyediaan infrastruktur, kemudahan pengangkutan dan panduan itinerari pelancongan.

“Di peringkat negeri Selangor, dengan bantuan pihak berkuasa tempatan, terdapat banyak infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan pelancongan telah dinaik taraf.

"Tourism Selangor turut mendapat kerjasama daripada operator produk pelancongan dalam mempromosikan perkhidmatan hospitaliti di premis pelancongan untuk menarik minat pelancong.

“Perkembangan teknologi hari ini memainkan peranan penting dalam penyediaan perkhidmatan hospitaliti dalam memudahkan proses tempahan melalui platform e-dagang, pemasaran digital melalui Google Ads dan pempengaruh media sosial dan servis perkhidmatan di media sosial,” katanya.

Azrul Shah berkata, antara cabaran yang dihadapi oleh Tourism Selangor dalam menyediakan pengalaman pelancongan berkualiti adalah mendapatkan sokongan daripada pihak berkuasa tempatan bagi pembangunan pelancongan memandangkan Tourism Selangor hanyalah berperanan sebagai badan promosi.

“Selain itu, pihak kami menghadapi kekangan bajet pemasaran bagi mempromosikan sembilan daerah dengan 10 segmentasi pelancongan yang berbeza, seperti pelancongan eko, agro, sukan, taman tema, gastronomi, dan pusat beli-belah.

“Seterusnya penggunaan teknologi masa kini dalam bidang pemasaran dan pengiklanan yang berbeza, memandangkan Tourism Selangor telah beralih kepada strategi pemasaran digital hampir 90 peratus,” ujar beliau.

Sempena World #QuranConvention, Tourism Selangor menawarkan pakej pelancongan di negeri ini kepada penalis dan peserta, selain membantu pihak penganjur untuk menguar-uarkan mengenai konvensyen tersebut di semua platform media.

Orang ramai yang ingin menyertai World #QuranConvention 2023, boleh mendaftar di https://www.worldquranconvention.com/buy/ticket/.