Nasib penduduk Gaza seperti 'sudah jatuh ditimpa tangga'

Kem sementara menjadi tempat berlindung ratusan ribu penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal.
Kem sementara menjadi tempat berlindung ratusan ribu penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal.
A
A
A

GENTING GAZA - Hampir 1.6 juta penduduk atau lebih separuh daripada populasi Palestin yang hilang tempat tinggal di Genting Gaza sejak 7 Oktober lalu bakal berdepan situasi lebih mencabar menjelang ketibaan musim sejuk.

Nasib golongan itu boleh diibaratkan seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.

Kebanyakan penduduk Palestin tidak membuat persediaan untuk menghadapi cuaca sejuk, selain tiada pakaian bersesuaian atau bekalan selimut mencukupi.

Kempen pengeboman rejim Zionis yang semakin sengit sejak lima minggu lalu menyaksikan gelombang ‘tsunami’ perpindahan orang awam dari utara dan tengah Gaza ke bahagian selatan wilayah itu.

Sejumlah besar penduduk terpaksa mendapatkan perlindungan di kawasan pekarangan hospital yang kini tidak lagi selamat kerana turut menjadi sasaran bedilan ganas Israel.

Selain itu, sekolah-sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga sesak dengan penduduk yang semakin sengsara untuk meneruskan hidup akibat kepungan haram secara menyeluruh.

Bekalan air dilaporkan semakin terhad, bahan api sudah kehabisan dan sumber makanan juga sukar diperoleh serta sebahagian besar kawasan kini terpaksa bergelap akibat terputus kuasa elektrik sejak awal minggu lalu.

Malapetaka itu dijangka menjadi lebih dahsyat apabila musim sejuk tiba.

Artikel Berkaitan:

Fadwa Kullab yang berlindung di sekolah kendalian PBB di Rafah mengendong bayinya yang baru lahir.
Fadwa Kullab yang berlindung di sekolah kendalian PBB di Rafah mengendong bayinya yang baru lahir.

“Saya mula rasa panik kerana keluarga saya tiada pakaian sesuai. Kami amat menderita terutamanya bayi saya. Saya sangat sedih dan tidak berdaya,” kata bapa kepada empat anak, Hussain al-Ramlawi.

Menurut Pusat Kebangsaan untuk Maklumat Alam Sekitar, suhu ketika musim sejuk di Gaza boleh menurun kepada kira-kira sembilan hingga 10 darjah Celsius dan kadangkala boleh menjunam lebih rendah.

“Sekarang sukar untuk mendapatkan air minuman. Ia telah menjadi cabaran harian kepada keluarga di Gaza” ujar pemandu trak bekalan air, Adel Abu Hussanien dari Deir al-Balah sambil menambah, dia menerima lebih 100 panggilan telefon yang bertanyakan tentang perkara itu dan berasa bingung mahu memberikan jawapan yang tidak pasti.

Data Majlis Pelarian Norway (NRC) pada Februari lalu menunjukkan lebih 120,000 penduduk Palestin di Gaza menetap di 21,500 rumah tanpa tingkap, pintu atau bumbung yang selamat.

Keadaan kediaman tidak sempurna seperti itu juga menyebabkan ramai keluarga terdedah dengan cuaca sejuk melampau.

Situasi semakin buruk setelah ratusan ribu termasuk warga emas, ibu hamil dan kanak-kanak kini hanya berlindung di bawah khemah sementara serba daif tanpa bekalan keperluan asas mencukupi.

Sebelum peperangan itu tercetus, musim sejuk dianggap sebagai ‘sahabat baik’ kepada kebanyakan penduduk Palestin di Gaza.

Namun, kini ia bakal menjadi ‘musuh yang membawa maut’ kepada mereka dalam tempoh terdekat jika golongan itu tidak mendapat bantuan kemanusiaan yang diperlukan.

SUMBER: AGENSI/ AFP