PM seru selamatkan penduduk Gaza di APEC 2023

Anwar Ibrahim - Foto Bernama
Anwar Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

SAN FRANCISCO - Nilai teras dan kepentingan multilateralisme terutamanya bagi ekonomi sedang pesat membangun seperti Malaysia, dan bahawa kemanusiaan harus mengatasi pakatan politik, adalah antara mesej utama yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berada di sini.

Mesej beliau di setiap platform di sini adalah mudah dan jelas - pembunuhan dan kekejaman di Gaza perlu dihentikan dan tidak ada pilihan lain lagi.

Anwar yang berada di sini untuk Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-30, turut menyertai Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC dan menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Superpower rivalry and rising tensions in the Asia-Pacific: The view from Southeast Asia’ di University of California, Berkeley.

Katanya, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman orang awam, rumah dan hospital, di samping kekejaman terhadap wanita dan kanak-kanak, melibatkan nyawa orang awam yang tidak bersalah, dilakukan siang dan malam di Gaza. Angka kematian dalam krisis yang berterusan sejak 7 Oktober lepas kini meningkat kepada kira-kira 12,000.

"Setiap saat amat penting, dan setiap detik apabila suara oleh pemimpin dunia untuk menghentikan pengeboman berterusan begitu lewat, ia bermakna lebih ramai bayi akan menjadi mangsa,” kata Perdana Menteri.

Selain Malaysia, daripada 21 ekonomi yang menyertai APEC 2023, Brunei dan Indonesia turut menyentuh isu konflik di Timur Tengah itu di sini.

Ketiga-tiga mereka dalam satu langkah penting turut memutuskan untuk mengeluarkan kenyataan berasingan pada penghujung Minggu Pemimpin APEC 2023, menggesa gencatan senjata di Gaza. Ia selepas Ekonomi APEC gagal mencapai kata sepakat mengenai perenggan yang dicadangkan oleh AS berhubung isu geopolitik melibatkan Rusia dan Ukraine, yang tidak menyentuh tentang Gaza.

"Secara keseluruhannya, saya gembira kerana ia (pendirian tiga ekonomi berkenaan) pendirian yang penting. Kami bukan pejuang atau ingin berseteru, tetapi kami mengambil pendirian sebagai sahabat.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak menggunakan forum ini untuk mengutuk, tetapi lebih kepada merayu, untuk menghentikan kekejaman yang berlaku di Gaza,” katanya.

Mengenai perdagangan dan pelaburan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berpendapat, APEC harus kekal sebagai platform bagi semua negara berkumpul untuk membangunkan strategi yang merangsang kemajuan ekonomi sambil mengekalkan standard tertinggi kerjasama dan saling menghormati.

Beliau berkata, kelompok yang berada di bawah kategori ekonomi baru muncul seperti Malaysia, mendapat manfaat yang besar daripada kerjasama sedemikian dalam kedua-dua aspek perdagangan dan pelaburan.

"Pada pelbagai peringkat pertumbuhan dan pembangunan, ekonomi-ekonomi ini kini cuba berkembang maju mengatasi kesukaran semasa krisis kesihatan global, yang bermakna perlu ada lebih banyak kerjasama sekarang berbanding sebelum ini,” katanya.

"Tidak syak lagi bahawa persaingan antara Amerika Syarikat-China yang berterusan akan menjadi realiti struktur hal ehwal dunia, tetapi ekonomi sedang pesat membangun tidak harus didesak untuk memihak.

"Negara seperti Malaysia dan Asean tidak boleh dipaksa untuk melihat dunia dan kuasa besar dalam pemikiran Perang Dingin,” katanya semasa sesi soal jawab pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC bertajuk "The Global Economy and State of The World”.

Beliau berkata, bagi Putrajaya, Amerika Syarikat telah menjadi sekutu tradisional dan pelabur utama di Malaysia, tetapi terdapat peralihan dengan peningkatan perdagangan dan pelaburan dari China.

Oleh itu Beijing akan kekal sebagai pusat kepada hal ehwal serantau kerana saiz, kedudukan yang hampir dan hubungan yang mendalam dengan Asia Tenggara.

"Apabila ekonomi China semakin matang, ia akan mengalihkan penekanan daripada pelaburan dan eksport, ke arah penggunaan dan perkhidmatan domestik,” katanya dalam Mesyuarat APEC sulungnya sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, skala besar penduduk China memastikan pasarannya yang besar akan terus berkembang dengan ketara.

"Realiti ini bermakna hubungan konstruktif dengan China kekal penting, walaupun kita mengimbangi peranan kekal Amerika," kata Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Malaysia masih melihat ada nilai dalam hubungan yang melibatkan kedua-dua Washington dan Beijing.

Anwar juga mengambil peluang untuk berkongsi keutamaan dan prinsip Malaysia di bawah Rangka Kerja Ekonomi Madani, menekankan keterangkuman, pembangunan mampan dan kerjasama untuk kemakmuran bersama di pelbagai mesyuarat.

Anwar tiba di sini pada 13 November lepas untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC yang berakhir pada hari Jumaat.

APEC 2023 menyaksikan Malaysia bersama 13 lagi Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) menandatangani perjanjian rantaian bekalan, menandakan kemasukan pakatan perdagangan yang diketuai oleh Amerika Syarikat.

Tiga belas lagi anggota itu terdiri daripada Australia, Brunei, Fiji, India, Indonesia, Jepun, New Zealand, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Thailand, AS dan Vietnam.

IPEF terdiri daripada empat tonggak utama: Tonggak 1 - Perdagangan, Tonggak 2 - Rantaian Bekalan, Tonggak 3 - Tenaga Bersih dan Tonggak 4 - Ekonomi Adil. Rundingan itu akan menyaksikan empat perjanjian berasingan bagi setiap tonggak ini.

"Penyertaan Malaysia dalam IPEF mempamerkan komitmennya terhadap integrasi dan kerjasama ekonomi serantau," kata Perdana Menteri.

Semasa berada di sini, Anwar mengadakan pertemuan dengan gergasi teknologi seperti Google, Enovix Corporation, Microsoft serta TikTok; dan bersama misi perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, Malaysia memperoleh sejumlah RM63.02 bilion pelaburan.

Pelaburan yang muncul menerusi daripada misi perdagangan adalah daripada Abott Laboratories, Mondelez International, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company, Boeing, Amazon Web Services, Enovix dan Lam Research.

Beliau turut mengadakan perjumpaan dengan beberapa ahli perniagaan Islam dan pakar teknologi yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat yang menyatakan minat mereka untuk melabur di Malaysia.

Perdana Menteri turut mengadakan mesyuarat dua hala rasmi dengan Vietnam, Peru dan Kanada di luar Mesyuarat APEC.

Berhubung perbincangan dengan Vietnam, Anwar berkata beliau dan Presiden Vietnam Vo Van Thuong, bersetuju untuk meningkatkan kerjasama untuk menangani isu penangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia.

Kedua-dua pemimpin juga membincangkan isu Laut China Selatan dan bersetuju untuk mematuhi sepenuhnya Deklarasi Tatakelakuan di Laut China Selatan dan menyeru Kod Tatakelakuan China Selatan China yang berkesan.

Merujuk kepada mesyuarat dua hala dengan Peru pula, Anwar berkata, Presidennya Dina Boluarte telah meminta Malaysia mempertimbangkan untuk membuka pejabat di Peru bagi membantu memudahkan pensijilan halal bagi produk Peru, kerana pensijilan halal Malaysia diiktiraf di seluruh dunia.

"Saya telah bersetuju untuk memudahkan permintaan Peru secepat mungkin," katanya.

Mengenai pertemuan dengan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, Anwar berkata, selain topik perdagangan dan pelaburan dua hala, kedua-dua pemimpin juga saling bertukar pandangan mengenai isu Palestin.

Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa konflik semasa harus menjadi satu seruan untuk membangkitkan kesedaran dalam kalangan masyarakat antarabangsa mengenai keperluan menamatkan pendudukan Israel di Palestin berdasarkan penyelesaian dua negara.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Tengku Zafrul, adalah antara ahli rombongan Anwar dalam lawatan rasmi ke San Francisco ini.

Turut bersama beliau dalam beberapa sesi yang dihadirinya di sini ialah Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan.

AS dan Malaysia adalah antara 12 ahli pengasas APEC. Ahli yang lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura dan Thailand.

China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyusul pada tahun 1993. Chile bersetuju pada tahun 1994 dan pada tahun 1998, Peru, Rusia dan Vietnam menyertai, menjadikan keahlian penuh kepada 21 ekonomi.

APEC mewakili ekonomi yang membabitkan hampir 3 bilion penduduk dunia, 62 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 48 peratus daripada perdagangan dunia pada 2021. - Bernama