Bursa Malaysia ditutup rendah

Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini apabila kebimbangan terhadap perkembangan ekonomi dan kewangan di AS dan China telah menjejaskan sentimen global. - Foto hiasan
Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini apabila kebimbangan terhadap perkembangan ekonomi dan kewangan di AS dan China telah menjejaskan sentimen global. - Foto hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup rendah hari ini apabila kebimbangan terhadap perkembangan ekonomi dan kewangan di Amerika Syarikat dan China telah menjejaskan sentimen global.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.01 mata kepada 1,460.67 daripada paras penutup 1,464.68 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 3.09 mata kepada 1,461.59 dan kemudiannya bergerak antara paras 1,458.53 dan 1,462.31 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran bercampur-campur dengan kaunter rugi mengatasi sedikit kaunter untung sebanyak 450 berbanding 440 manakala 461 kaunter tidak berubah, 1,039 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.27 bilion unit bernilai RM1.89 bilion daripada 3.48 bilion unit bernilai RM2.07 bilion.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, indeks utama serantau mencatatkan prestasi lemah seiring dengan indeks global dengan Hong Kong mencatatkan penurunan mendadak selepas syarikat gergasi teknologi China, Alibaba, membatalkan rancangan penubuhan unit pengkomputeran awannya ekoran ketidakpastian akibat daripada sekatan jualan cip oleh Amerika Syarikat (AS).

"Selain itu, beberapa laporan pada Khamis menunjukkan keperlahanan ekonomi AS di tengah-tengah peningkatan bilangan pekerja yang memfailkan manfaat pengangguran pada minggu lepas,” katanya.

Bagaimanapun, Pak Leng berkata, beliau percaya pasaran tempatan akan kembali positif berikutan aliran masuk berterusan dana asing.

Artikel Berkaitan:

"Aliran masuk bersih asing mencecah lebih daripada RM1 bilion setakat bulan ini manakala asas kukuh ekonomi tempatan akan memacu pasaran kehadapan,” katanya.

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini melaporkan ekonomi negara berkembang 3.3 peratus pada suku ketiga daripada 2.9 peratus pada suku kedua, disokong oleh permintaan kukuh domestik.

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour menjangkakan ekonomi domestik tumbuh kira-kira 4.0 peratus pada 2023 dan 4.0-5.0 peratus pada 2024 meskipun persekitaran global yang mencabar.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM9.12, Public Bank turun satu sen kepada RM4.23, CIMB naik dua sen kepada RM5.80 dan Petronas Chemicals jatuh 11 sen kepada RM7.22. Tenaga Nasional dan IHH susut tiga sen masing-masing kepada RM9.96 dan RM5.95.

Dalam kalangan kaunter cergas, Hong Seng dan Ta Win berkurangan setengah sen masing-masing kepada 3.5 sen dan 3.5 sen. Widad tidak berubah pada 46 sen manakala Eden naik setengah sen kepada 23 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 28.32 mata kepada 10,799.98, Indeks FBMT 100 susut 28.45 mata kepada 10,462.50 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 28.66 mata kepada 11,004.74.

Indeks FBM 70 jatuh 37.62 mata kepada 14,302.08 bagaimanapun Indeks FBM ACE naik 53.13 mata kepada 5,171.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 50.80 mata kepada 16,382.64, Indeks Tenaga susut 9.44 mata kepada 852.50 dan Indeks Perladangan berkurangan 0.18 mata kepada 7,006.74. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.52 mata kepada 173.92.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.25 bilion unit bernilai RM1.63 bilion berbanding 2.10 bilion unit bernilai RM1.77 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran susut kepada 473.43 juta unit bernilai RM66.04 juta daripada 679.98 juta unit bernilai RM91.97 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 544.01 juta saham bernilai RM197.15 juta daripada 695.90 juta saham bernilai RM202.66 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 327.23 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (411.51 juta); pembinaan (95.84 juta); teknologi (724.18 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (46.25 juta); hartanah (193.70 juta); perladangan (50.18 juta); REITs (11.39 juta), dana tertutup (55,300); tenaga (98.73 juta); penjagaan kesihatan (63.28 juta); telekomunikasi dan media (47.75 juta); pengangkutan dan logistik (33.73 juta); dan utiliti (142.15 juta). - Bernama