Dua beradik tidak mengaku rompak lima wanita

Mohamad Hafiz (dua dari kiri) dan abangnya, Ahmad Fazrin dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merompak lima wanita di sekitar Ipoh, Oktober lalu.
Mohamad Hafiz (dua dari kiri) dan abangnya, Ahmad Fazrin dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merompak lima wanita di sekitar Ipoh, Oktober lalu.
A
A
A

IPOH - Dua beradik dipercayai ahli Geng Bulat didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan merompak lima wanita dengan bersenjatakan pisau dan parang, Oktober lalu.

Mohamad Hafiz Naharoddin, 28, dan abangnya, Ahmad Fazrin, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama telah melakukan rompak berkumpulan terhadap harta milik seorang wanita berusia 36 tahun iaitu wang tunai RM200 dengan bersenjatakan sebilah pisau.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai di Persiaran Raja Perempuan Mazwin Selatan, Desa Rishah sekitar jam 3.35 petang pada 12 Oktober lalu.

Mereka juga didakwa secara bersama melakukan rompak ke atas wanita berusia 50 tahun dengan mencuri dua telefon bimbit, sebentuk cincin emas, beg tangan mengandungi kad pengenalan dan kad kredit serta sepasang subang emas dengan bersenjatakan sebilah parang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai komputer di Persiaran Desa Rishah, Desa Rishah Menglembu sekitar jam 11.30 pagi pada 23 Oktober lalu.

Pada prosiding sama, Ahmad Fazrin didakwa bersama seorang lagi masih bebas melakukan perbuatan sama terhadap wanita berusia 35 tahun iaitu dua telefon bimbit dan wang tunai RM130 dengan bersenjatakan pisau di sebuah kedai di Persiaran Meru Point, Taman Seri Meru sekitar jam 9 malam pada 5 Oktober lalu.

Lelaki itu juga didakwa melakukan perbuatan sama melibatkan seorang wanita berusia 31 tahun iaitu wang tunai RM216 dan sebentuk cincin dengan bersenjatakan pisau di sebuah farmasi di Jalan Tun Abdul Razak sekitar jam 12.30 tengah hari pada 6 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Dia turut didakwa melakukan rompak dengan bersenjatakan pisau iaitu wang tunai RM400, kad pengenalan dan kad bank milik seorang wanita berusia 23 tahun di Hala Perusahaan Menglembu 13, Taman Perindustrian Menglembu Jaya sekitar jam 6.30 petang pada 17 Oktober lalu.

Kesemua pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj dan Qurratu'aini Khalifah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam RR Segaran.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Mohamad Hafiz diikat jamin RM10,000 manakala Ahmad Fazrin pula RM25,000 dengan masing-masing seorang penjamin dan kes disebut semula pada 11 Januari 2024.

Di Mahkamah Majistret pula, Mohamad Hafiz didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 34.87 gram di tepi jalan Rapat Baru di Ipoh sekitar jam 4.45 petang pada 23 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu, tiada pengakuan direkodkan.

Lelaki itu juga minta bicara atas pertuduhan mencuri bekas berisi duit siling dianggarkan bernilai RM500 di sebuah kedai di Laluan Rasi Jaya 4B, Taman Rasi Jaya sekitar jam 4.28 petang pada 17 Oktober lalu.

Mohamad Hafiz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri tabung derma milik masjid dan madrasah di sebuah kedai di Jalan Merak, Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2 sekitar jam 11.15 pagi pada 14 September lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Fazrin pula didakwa telah melakukan pecah rumah yang digunakan sebagai tempat simpanan harta benda milik wanita berusia 33 tahun di Taman Mei Kin, Pasir Puteh antara jam 8.30 pagi hingga 1.30 petang pada 20 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Nabilah Norzam dan Nurul Hidayu Zakaria dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Segaran.

Mahkamah membenarkan Ahmad Fazrin diikat jamin RM2,500 manakala Mohamad Hafiz, tiada jaminan diberikan. Kes disebut semula pada 11 Januari 2024.

Sinar Harian pada 24 Oktober lalu melaporkan cubaan nekad dua suspek kes samun meloloskan diri dengan dikejar polis lebih 70 kilometer gagal selepas mereka berjaya dicekup di dua lokasi berasingan di Ipoh dan Teluk Intan.

Tertuduh didakwa Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Nabilah Norzam dan Nurul Hidayu Zakaria dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Segaran.

Mahkamah membenarkan Ahmad Fazrin diikat jamin RM2,500 manakala Mohamad Hafiz, tiada jaminan diberikan. Kes disebut semula pada 11 Januari 2024.

Pada 24 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan cubaan nekad dua suspek kes samun meloloskan diri dengan dikejar polis lebih 70 kilometer gagal selepas mereka berjaya dicekup di dua lokasi berasingan di Ipoh dan Teluk Intan.