Klinsmann kagum karakter 45 minit pertama Lions

Klinsmann
Klinsmann
A
A
A

GERGASI Asia, Korea Selatan menyingkap kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 penuh bergaya apabila membelasah Singapura 5-0 pada Khamis.

Korea Selatan yang berada di kedudukan ke-24 ranking dunia ternyata dalam kelas tersendiri ketika berdepan Singapura yang berada di kedudukan ke-155 apabila mendominasi penguasaan bola.

Gol daripada Cho Gue-sung minit ke-44, Hwang Hee-chan (m-49), Son Heung-min (m-63), Hwang Ui-jo (penalti m-68) dan Lee Kang-in (m-85) memastikan anak buah Jurgen Klinsmann menceriakan 64,381 penyokong tuan rumah dalam aksi Kumpulan C di Stadium Piala Dunia Seoul itu.

Sementara itu, Klinsmann memuji karakter mengagumkan dipersembahkan pemain The Lions asuhan Takayuki Nishigaya dalam 45 minit pertama.

“Saya memberitahu jurulatih (Takayuki Nishigaya) selepas perlawanan bagaimana mereka bermain secara taktikal dan bertahan di separuh masa pertama yang luar biasa.

“Selain itu, secara fizikal, mereka tidak berundur. Mereka berada di sana, mereka memberikan cabaran satu lawan satu 100 peratus. Ia mengagumkan, sangat mengagumkan,” katanya.

Bagaimanapun, Klinsmann berang dengan cabaran daripada Shah Shahiran terhadap Heung-min ketika tuan rumah mendahului 4-0, apabila berkata, "Ia satu tindakan yang tidak perlu dalam perlawanan berintensiti tinggi sebegini."

Dalam pada itu, Nishigaya yang gembira dengan usaha pemainnya berkata, "Pemain kami beraksi dengan baik, kami menunjukkan 100 peratus daripada apa yang boleh kami lakukan di sini. Saya bangga dengan pemain saya."

Artikel Berkaitan:

Kemenangan selesa Korea Selatan yang dikemudikan Heung-min ke atas anak buah Takayuki Nishigaya juga sebagai motivasi Taeguk Warriors sebelum berdepan China di Pusat Sukan Universiade Shenzhen pada 21 November ini.

Tiga mata diraih membolehkan Korea Selatan memimpin Kumpulan C dengan tiga mata, diikuti China (tiga mata) yang menewaskan Thailand 2-1 di Stadium Rajamangala, Thailand ketiga dan Singapura keempat.