Palestin singkap kempen kelayakan Piala Dunia 2026 di UAE

Skuad bola sepak Palestin semasa kempen Piala Asia UAE 2019. - Foto Agensi
Skuad bola sepak Palestin semasa kempen Piala Asia UAE 2019. - Foto Agensi
A
A
A

PASUKAN bola sepak Palestin memulakan cabaran Kumpulan I Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Lubnan di Stadium Khalid Bin Mohammed, Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis.

Perlawanan kelayakan bagi zon Asia itu terpaksa diadakan di gelanggang berkecuali berikutan konflik Israel-Palestin yang meruncing di Asia Barat itu.

Perlawanan pembukaan pada awalnya dijadualkan berlangsung di Beirut sebelum Palestin sepatutnya menjadi tuan rumah Australia pada minggu berikutnya.

Namun tindak balas Israel terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober memaksa pegawai pertandingan mencari venue yang baharu.

Lubnan dan Palestin akan bertemu di Stadium Khalid bin Mohammed sebelum Palestin, yang biasanya menganjurkan perlawanan di Stadium Faisal Al-Husseini Al-Ram di Tebing Barat, menentang Australia di Kuwait pada 21 November.

Socceroos pimpinan Graham Arnold sebelum itu menjadi tuan rumah Bangladesh di Melbourne sebelum berdepan Palestin.

Kempen kelayakan yang nenyingkap tirai minggu ini menandakan permulaan fasa kedua kelayakan benua untuk Piala Dunia 2026.

Piala Dunia di Amerika Utara 2026 akan bermula dengan 12 kumpulan membabitkan empat negara sekumpulan yang juga perubahan daripada perancangan format asal, 16 kumpulan membabitkan tiga pasukan.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, edisi Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico akan menjadi temasya pertama membabitkan 48 pasukan, penambahan daripada 32 pasukan di Qatar 2022 sebelum ini.