Selangor peneraju TVET Malaysia

Amirudin mengangkat agenda TVET dan mengaitkan ia dengan kerjasama industri. - Foto 123rf, gambar kecil: Amirudin
Amirudin mengangkat agenda TVET dan mengaitkan ia dengan kerjasama industri. - Foto 123rf, gambar kecil: Amirudin
A
A
A

JUMAAT lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengangkat agenda Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan mengaitkan ia dengan kerjasama industri.

Amirudin turut mengembalikan perkataan ‘industri’ kepada Universiti Selangor (Unisel). Bermula 2025, Unisel akan kembali dikenali sebagai Universiti Industri Selangor.

Penulis tabik kepada Amirudin. Universiti ialah tempat melahirkan insan mulia termasuk jurutera berkualiti dunia. Penulis sangat bersetuju dengan strategi beliau.

Penulis ada ‘nilai sentimental’ kepada Unisel kerana pernah menjadi Dekan Fakulti Kejuruteraan (FK) dan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) di universiti tersebut. Industri sangat sinonim dengan Selangor.

Sebagai negeri termaju dan terkaya di Malaysia, Selangor jauh mendahului negeri lain. Sudah semestinya isu berkaitan industri, TVET, kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) dan teknologi terbaharu dikupas dengan penuh teliti di universiti.

Pada Ogos 2018, penulis mengupas tentang TVET. Penulis merumus TVET masih jauh ketinggalan di negara ini.

Justeru, sebagai negeri industri, Selangor mesti menjadi pemimpin TVET di Malaysia. Tindakan mengembalikan aura industri kepada Universiti Industri Selangor boleh merealisasikan impian Amirudin untuk kejayaan TVET di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Bermula 2025, Unisel akan kembali dikenali sebagai Universiti Industri Selangor.
Bermula 2025, Unisel akan kembali dikenali sebagai Universiti Industri Selangor.

Timbul persoalan, kenapa baru sekarang Selangor mahu menjadikan TVET sebagai agenda perdana?

Jawabannya mudah.

Evolusi dan inovasi mesti bergerak seiring jalan. Sekiranya mahu menjadi negara anggota BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan yang mewakili 30 peratus keluasan dunia dan 43 peratus populasi dunia), Malaysia mesti mengungguli TVET.

Menguasai TVET bertaraf tinggi bermakna Selangor akan memiliki pakar kemahiran teknikal kejuruteraan, teknologi, kedoktoran, kewangan, perakaunan, perniagaan, pemasaran, perubatan, pengurusan, pendidikan, penerbangan, undang-undang, perladangan, pertanian, penternakan dan pelancongan. Ia mewakili kitaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Sebagai rekod, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor pada 2022 ialah RM349 bilion iaitu 25.5 peratus KDNK Malaysia meningkat 11.9 peratus daripada RM312.5 bilion dicatatkan pada 2021.

Selangor memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun-tahun mendatang. Di sinilah TVET akan berperanan sebagai pemangkin teknologi terkini.

Ketika ini, industri pembuatan termaju bergantung kepada mesin atau robot automasi, pakar dalaman dan tenaga berkemahiran tinggi. Pekerja mesti mahir dan cekap mereka bentuk, menyelenggara serta mengendalikan mesin atau sistem automasi mengikut piawaian dan prosedur antarabangsa.

Penulis meramalkan, menerusi TVET, Selangor akan menjadi lembah teknologi bertaraf dunia. Selangor bakal menjadi negeri pertama mengaplikasikan teknologi AI kepada semua pelabur.

TVET sebenarnya sudah menjadi teras utama kepada negara maju Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, Taiwan dan China. TVET juga disebut ALLAH SWT dalam Surah al-Mujadalah ayat 58:11 tentang kelebihan manusia sekiranya memiliki ilmu dan kemahiran.

Penulis ingin menegaskan pengisian jurang kemahiran akan diatasi dengan pengendalian program TVET. Pelaksanaan program TVET juga akan menyebabkan kerjasama dengan rakan industri akan terus diperkasakan sebagaimana peranan dimainkan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC).

Silibus TVET mestilah disesuaikan dengan perkembangan terkini dan masa depan dalam dunia industri termasuk AI dan Internet of Things (IoT).

TVET boleh memupuk budaya inovasi dan keusahawanan. Pelajar digalakkan menggunakan kemahiran untuk menyelesaikan masalah di industri. TVET juga dikenal pasti boleh menjadi platform pembelajaran sepanjang hayat dan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi dan sosial.

Paling penting, TVET akan melahirkan tenaga mahir dan pakar profesional - faktor terpenting menarik pelaburan langsung asing (FDI), sekali gus meningkatkan produktiviti dan inovasi. Pekerja mahir keluaran TVET boleh mengurangkan kos kerana bertindak lebih cekap selain tidak melakukan kesilapan.

Penulis juga ingin mencadangkan Selangor agar berpaksikan sembilan teras utama teknologi IR 4.0 iaitu robot autonomi, simulasi dan realiti tambahan, penyepaduan mendatar dan menegak, IoT, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan aditif, rantaian bekalan dan analitik data raya.

Selangor juga perlu sentiasa mencari modul latihan kemahiran TVET berkualiti dengan menerima pengiktirafan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan panel pakar yang dilantik.

Kesimpulannya, keputusan Amirudin untuk mengangkat darjat TVET akan melonjakkan Selangor jauh meninggalkan negeri lain.

Kejayaan menguasai TVET akan menjadikan Selangor juara sektor teknologi.

*Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)