Dewan Perniagaan Industri Jerman setuju kongsi kepakaran Majlis TVET

Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan wakil daripada Bosch-Haus dan Dewan Perniagaan dan Industri Jerman (DIHK). - Foto Facebook Ahmad Zahid
Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan wakil daripada Bosch-Haus dan Dewan Perniagaan dan Industri Jerman (DIHK). - Foto Facebook Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Perniagaan dan Industri Jerman (DIHK) bersetuju untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam membentuk satu kerjasama bersama Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkongsian berkenaan dipersetujui untuk membantu mencipta rangka tindakan unik yang bersesuaian dengan program TVET Malaysia.

“Mesyuarat bersetuju bahawa Dewan Perniagaan Jerman-Malaysia akan mengetuai dalam menyelaraskan syarikat-syarikat Jerman di Malaysia dan sebahagian daripada majlis penasihat yang khusus untuk membina ekosistem TVET di Malaysia.

“Dewan Perniagaan Jerman akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan program German Dual Vocational Training (GDVT) yang melibatkan penyertaan industri Malaysia.

“Ini akan membantu menyelaraskan tenaga kerja mahir Malaysia bersesuaian piawaian Jerman seterusnya menjadikan mereka lebih berdaya saing dan diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, beliau percaya industri TVET negara memiliki masa hadapan yang cerah.

Menurutnya, kerjasama dengan institusi TVET yang mantap seperti Jerman akan memangkinkan ekosistem TVET negara.

“Kejayaan pelan tindakan ini nanti akan bergantung pada dedikasi, kerjasama yang berkesan dan akses kepada perkongsian kepakaran yang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH dengan komitmen dan kerjasama yang utuh, saya yakin seperti di Jerman, Jepun dan banyak negara maju lain, TVET akan menjadi pilihan utama pelajar dan menjadi penyumbang utama kepada tenaga kerja negara kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Jerman-Malaysia (GMI) dan TH Brandenburg University of Applied Sciences ketika sesi lawatan kerja ke Berlin, Jerman.

Menurutnya, MoU itu bertujuan mewujudkan kerjasama akademik pelajar Jerman A-level (GAPP) bagi meneroka laluan pengajian untuk graduan Diploma GMI, peluang latihan tenaga pengajar (TOT) dan mewujudkan Program Pertukaran Kakitangan GMI.