DIHK, Majlis TVET Negara setuju kongsi kepakaran - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid - Foto: Bernama
Ahmad Zahid - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan dan Industri Jerman (DIHK) bersetuju berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam membentuk kerjasama bersama Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu bagi membantu mencipta rangka tindakan unik yang disesuaikan dengan program TVET Malaysia.

Beliau berkata, perkara itu antara diputuskan menerusi mesyuarat dengan wakil daripada Bosch-Haus dan DIHK bersama Institut Jerman-Malaysia (GMI) di bawah MARA, ketika lawatannya ke Bosch di Berlin, Jerman baru-baru ini.

"Mesyuarat juga bersetuju bahawa Dewan Perniagaan Jerman Malaysia akan mengetuai dalam menyelaraskan syarikat-syarikat Jerman di Malaysia dan sebahagian daripada majlis penasihat yang khusus untuk membina ekosistem TVET di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut memutuskan Dewan Perniagaan Jerman akan memainkan peranan penting dalam mempromosi program GDVT (German Dual Vocational Training) yang melibatkan penyertaan industri Malaysia.

Ini akan membantu menyelaraskan tenaga kerja mahir Malaysia bersesuaian piawaian Jerman seterusnya menjadikan mereka lebih berdaya saing dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Ahmad Zahid yang percaya masa depan industri TVET adalah cerah berkata kerjasama dengan institusi TVET yang mantap seperti di Jerman itu sudah pastinya akan memangkin ekosistem TVET di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata, kejayaan pelan tindakan itu nanti akan bergantung kepada dedikasi, kerjasama yang berkesan dan akses kepada perkongsian kepakaran sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH dengan komitmen dan kerjasama yang utuh, saya yakin, seperti di Jerman, Jepun, dan banyak negara maju lain - TVET akan menjadi pilihan utama pelajar dan menjadi penyumbang utama kepada tenaga kerja negara kita,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini Malaysia sedang membangunkan rangka tindakan komprehensif dikenali sebagai Dasar TVET Negara 1.0 yang akan mecorakkan masa depan pendidikan vokasional di Malaysia yang turut akan membentuk aspirasi dan peluang anak muda dalam negara.

"Saya percaya bahawa bakat belia Malaysia tidak seharusnya dihadkan semata-mata bagi pencapaian akademik sahaja tetapi mereka perlu dipandu oleh minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), yang memerlukan kemahiran praktikal,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, selepas lawatan itu, beliau turut berpeluang menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara GMI dan TH Brandenburg University of Applied Sciences di universiti berkenaan.

MoU itu bertujuan mewujudkan kerjasama akademik untuk pelajar Jerman A-level (GAPP), meneroka laluan pengajian untuk graduan Diploma GMI, peluang latihan tenaga pengajar (ToT) dan mewujudkan Program Pertukaran Kakitangan GMI.

Ahmad Zahid diiringi Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif GMI, Ahmad Solihin Mohamed Yusoff dalam lawatan rasmi ke Berlin itu. - Bernama