Bersatu kesal dengan pelantikan Exco Perlis baharu

Tuanku Syed Sirajuddin berkenan bergambar kenangan bersama tujuh Exco negeri pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis di Istana Arau, pada Khamis.
Tuanku Syed Sirajuddin berkenan bergambar kenangan bersama tujuh Exco negeri pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis di Istana Arau, pada Khamis.
A
A
A

ARAU - Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli didakwa membelakangkan keputusan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya melantik Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah sebagai salah seorang anggota exco kerajaan negeri.

Abu Bakar berkata, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu telah mengutuskan surat kepada Menteri Besar menamakan beliau sebagai calon parti itu dalam barisan exco negeri yang mengangkat sumpah jawatan di Istana Arau di sini pada Khamis.

"Tetapi tidak diendahkan... jadinya Tan Sri turut berduka cita merasakan ini tidak harus berlaku kerana meminggirkan keputusan Tan Sri Presiden.

"... sepatutnya Menteri Besar Perlis perlu memanggil saya sebagai Timbalan Pengerusi PN negeri merangkap Pengerusi Bersatu negeri (untuk dibincangkan) tetapi langsung tidak buat, ini telah membelakangi keputusan dan perjanjian serta etika kerja dalam PN,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu pada sidang media di sini.

Dua ADUN mengangkat sumpah jawtaan sebagai Exco yang baharu berkuat kuasa mulai 25 November ini di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Bilik Hijau, Istana Arau di sini.

Sementara itu, lima Exco sedia ada juga mengangkat sumpah jawatan selepas dilantik semula memegang jawatan itu berkuat kuasa 25 November ini namun terdapat perubahan portfolio masing-masing selepas berlaku penyusunan semula portfolio terdahulu.

Abu Bakar mendakwa yang surat daripada Presiden Bersatu itu dihantar kepada Mohd Shukri di kediaman Menteri Besar oleh wakil Bersatu Kangar pada Jumaat lepas.

"Saya merasakan Menteri Besar ini perlu berundur dalam memegang jawatan Menteri Besar ini kerana segala keputusan yang dibuat tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat PN negeri selepas PRU15,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abu Bakar berkata, nama Fakhrul Anwar tidak wajar digugurkan sebagai Exco kerana beliau menunjukkan kematangan dalam berpolitik serta mempunyai kemampuan menggalas tugas Exco.

Sementara itu, semasa sidang media di Pejabat Menteri Besar di Kangar, Mohd Shukri enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan dan memaklumkan akan berjumpa dengan Muhyiddin selepas beliau pulang dari mengerjakan umrah bagi membincangkan isu berkenaan. - Bernama