Ringgit dibuka rendah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

RINGGIT memulakan urus niaga Khamis dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan aktiviti pengambilan untung terhadap unit tempatan itu susulan prestasi peningkatannya yang ketara, baru-baru ini, kata penganalisis.

Pada jam 9.20 pagi ini, ringgit diniagakan rendah pada paras 4.69600/7015 berbanding dolar AS daripada paras 4.6695/6755, semalam.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, di peringkat luaran misalnya, data AS terus memaparkan keadaan ekonomi yang tepu apabila jualan runcitnya jatuh 0.1 peratus bagi bulan ke bulan pada Oktober iaitu penurunan pertama sejak Mac lepas.

Namun, katanya, kadar jangka pendek lebih tinggi dengan hasil Perbendaharaan dua tahun AS meningkat lapan mata asas kepada 4.91 peratus berikutan keadaan pasaran yang kekal berhati-hati terhadap unjuran depan Kadar Dana Persekutuan bagi masa akan datang.

Dalam pada itu, Jepun menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2023 menguncup 0.5 peratus bagi suku ke suku dan mewajarkan langkah bank pusatnya untuk mengekalkan dasar monetari yang longgar.

Selain itu, Indeks Harga Pengguna (IHP) Eropah terus menyederhana kepada 4.0 peratus tahun ke tahun pada Oktober daripada 4.9 peratus sebelum ini, sekali gus membayangkan bahawa kadar faedah Bank Pusat Eropah juga telah menghampiri paras kemuncaknya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia susut berbanding yen Jepun kepada 3.1058/1097 daripada 3.1049/1091 pada akhir urus niaga semalam, rendah berbanding euro kepada 5.0933/0992 daripada 5.0669/0734 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.8268/8336 daripada 5.8187/8261.

Artikel Berkaitan:

Ringgit juga rendah berbanding mata wang Asean lainnya iaitu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4757/4800 daripada 3.4615/4662 pada Rabu dan turun berbanding peso Filipina pada 8.40/8.42 daripada 8.36/8.38, sebelum ini.

Selain itu, unit tempatan berkenaan susut berbanding baht Thailand kepada 13.1799/2005 daripada 13.1713/1935 semalam dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 302.2/302.8 daripada 300.5/301.1. - Bernama