Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS pada awal dagangan pada Selasa berikutan sentimen semasa dalam pasaran yang menunjukkan prospek pertumbuhan global yang lebih lemah.

Pada jam 9.01 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.5640/5695 berbanding dolar AS daripada 4.5575/5625 pada penutup Isnin.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia bagi Jun dijangka menunjukkan penurunan satu peratus berdasarkan anggaran konsensus.

"Sementara itu, kenyataan pegawai Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) membayangkan Kadar Dana Persekutuan berkemungkinan kekal tinggi dalam jangka pendek. Namun begitu, sekiranya inflasi terus mereda, terdapat peluang penurunan kadar tahun depan.

"Justeru, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.03 peratus untuk mencapai 102.047 semalam,” katanya.

Beliau menjangkakan ringgit berlegar sekitar 4.56 berbanding dolar AS hari ini.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding pound Britain kepada 5.8287/8357 daripada 5.7971/8035 pada penutup Isnin dan lemah berbanding euro kepada 5.0158/0219 daripada 4.9978/0032.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1918/1961 daripada 3.2018/2056 sebelumnya.

Unit tempatan itu didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit menambah nilai berbanding baht Thailand pada 13.0792/1006 daripada 13.0801/0997 sebelumnya dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.12/8.14 daripada 8.13/8.14.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3996/4042 daripada 3.3968/4008 dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 300.5/301.0 daripada 300.0/300.6 sebelumnya. - Bernama