Perak sedia pakai Akta Perhutanan Negara

Saarani (tengah) meninjau keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Serbaguna Chikus pada Rabu.
Saarani (tengah) meninjau keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Serbaguna Chikus pada Rabu.
A
A
A

TELUK INTAN - Kerajaan Perak sedia menerima pakai Akta Perhutanan Negara (Akta 313) yang telah diluluskan di peringkat Persekutuan pada 20 September tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, rang undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 yang dibahaskan di Parlimen dan diluluskan telah menjadi akta yang perlu dipatuhi.

"Kalau sudah jadi akta bermakna ia sudah dikuatkuasakan. Itu sudah menjadi undang-undang jadi kita tiada pilihan lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Serbaguna Chikus, di sini pada Rabu.

Ditanya kemungkinan berlaku percanggahan dengan Enakmen Perhutanan negeri, Saarani berkata, perkara itu tidak akan berlaku.

"Sebelum RUU dibawa ke Parlimen mesti ada sesi libat urus dengan negeri-negeri supaya tidak berlaku percanggahan enakmen negeri dan akta yang ada di Parlimen.

"Jadi kalau sudah diluluskan, saya pasti ia sudah dirunding terlebih dahulu dengan kerajaan negeri dan ada penyelarasannya. Biasa begitulah ada sesi libat urus," katanya.

Sinar Harian melaporkan semua kerajaan negeri diminta memberikan sokongan dengan menerima pakai keseluruhan pindaan dicadangkan dalam Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 yang telah dilulus dan diwarta di peringkat Persekutuan pada September tahun lalu sebagai Enakmen Perhutanan (Pemakaian) di negeri masing-masing.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, antara penambahbaikan utama yang diperkenalkan dalam pindaan tersebut adalah memperketatkan proses pewartaan keluar dan penggantian Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Artikel Berkaitan:

Melalui penambahbaikan RUU itu, proses penyiasatan awam diperkenalkan sebelum sesuatu kawasan HSK diwarta keluar dan penggantian serentak bagi HSK yang diwarta keluar.