Bekas Panglima ATM calon BN PRK Kemaman

Raja Mohamed Affandi
Raja Mohamed Affandi
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis pengumuman calon BN di Menara Dato Onn di sini, pada Isnin.

Ahmad Zahid berkata, keputusan yang dibuat hasil persetujuan BN dan UMNO Terengganu termasuk Pemuda dan Wanita.

“Setelah berunding dengan sahabat BN dan UMNO, kita tidak syak calon kita ini dapat membawa perubahan di Kemaman. Jika terpilih sebagai wakil BN, wakil Kerajaan Perpaduan, insya-ALLAH kita akan memberi terus keperluan rakyat di Kemaman.

“Saya yakin beliau dapat menabur perkhidmatan dengan terus membangunkan Kemaman, terutamanya kampung-kampung tradisional, Felda, Felcra, kampung Orang Asli, masyarakat pinggir bandar dan bandar untuk orang-orang Cina.

“Kita juga akan menyantuni seramai lebih 7,000 pengundi India, dan hampir 7,000 pengundi Cina di Kemaman, di samping lebih 300 pengundi Orang Asli,” katanya dalam sidang media.

Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Kemaman yang berlangsung di Menara Dato Onn pada Isnin. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN
Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Kemaman yang berlangsung di Menara Dato Onn pada Isnin. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN

Jelas Ahmad Zahid, Raja Mohamed Affandi telah banyak berjasa kepada negara di luar politik dan beliau menyatakan kesediaan atas tawaran yang diberikan BN dan UMNO.

Artikel Berkaitan:

“Kejayaan beliau atas jasa UMNO dan beliau berhasrat untuk balas jasa UMNO,” kata Ahmad Zahid.

Raja Mohamed Affandi, 65, yang dilahirkan di Besut, pernah tersenarai sebagai calon untuk Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu.

Ahmad Zahid dalam pada itu turut yakin bahawa jentera dan pengundi akan menerima Raja Mohamed Affandi yang dikategorikan sebagai calon langsung parti itu.

Ahmad Zahid - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN
Ahmad Zahid - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN

"Ini bukan kali pertama kita letak calon langsung, sebelum ini kita letakkan Datuk Ramli Mohd Nor di Parlimen Cameron Highlands.

“Saya yakin kerana beliau dibesarkan di Kemaman, keluarga beliau berada di sana, tiba waktu yang sesuai untuk meletakkan UMNO yang diberikan kepercayaan.

“Kita belum buat kajian mengenai penerimaan jentera dan kita yakin daripada maklum balas yang kita lakukan pengundi akan berikan dukungan kepada calon kita," ujarnya.

Sementara itu, Raja Mohamed Affandi berkata, beliau menganggap tanggungjawab yang diberikan itu sebagai panggilan tugas (call of duty) kepada negara.

Raja Mohamed Affandi ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Kemaman di Menara Dato Onn pada Isnin. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN
Raja Mohamed Affandi ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Kemaman di Menara Dato Onn pada Isnin. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN

“Saya sudah berkhidmat antara 42 hingga 43 tahun, dan usia dah menjangkau 66. Di atas usia apa saya lalui ini, saya fikir apabila diberikan tawaran ini, saya rasa tiba masanya untuk saya berikan balik apa yang ada pada saya sepanjang 40 tahun ke negara ini, khususnya bagi Parlimen Kemaman.

“Ingin saya nyatakan terima kasih di atas kepercayaan. Kepercayaan diberikan itu mempunyai nilai sangat tinggi, dan saya akan berusaha tentukan kepercayaan itu saya bayar balik,” ujarnya.

Majlis pengumuman calon BN bagi PRK Kemaman itu turut dihadiri beberapa pemimpin UMNO antaranya Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said serta beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang lain.

PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada PRU15 setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Susulan itu, Pas pada 3 Oktober lalu memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman diadakan pada 2 Disember dan hari penamaan calon pada 18 November.

Pada PRU15 lalu, Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi apabila meraih 65,714 undi menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said (38,535 undi), calon Pakatan Harapan, Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Parti Pejuang Tanah Air, Rosli Ab Ghani (506 undi).