Calon tepat BN untuk rampas Kemaman

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Kamaruddin
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Kamaruddin
A
A
A

KOTA BHARU - Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor merupakan calon tepat untuk merampas semula Parlimen Kemaman daripada Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen berkenaan, 2 Disember ini.

Pengerusi Majlis Veteran UMNO Kelantan, Datuk Kamaruddin Abdullah berkata, Raja Mohamed Affandi merupakan satu nama besar dan sudah dikenali penduduk Kemaman sebelum ini.

Menurutnya, walaupun calon itu tidak pernah berada di bahagian hadapan kepimpinan parti tetapi beliau dihormati dalam kalangan ahli UMNO.

"Saya yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan dapat merampas kembali Parlimen Kemaman kali ini kerana meletakkan seorang calon yang sudah tentu dikenali oleh rakyat Kemaman.

"Sudah tentu rakyat memberi perhatian kepada calon BN kerana jasa beliau dalam angkatan tentera selain dikenali semua ahli UMNO," katanya.

Parlimen Kemaman merupakan kubu kuat UMNO dan BN tetapi tewas bermula 2018 ketika PRU14 dan dikatakan bermulanya kejatuhan parti itu di Terengganu.

Pencalonan Raja Mohamed Affandi diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Parlimen Kemaman di Menara Dato' Onn pada Selasa.

Keputusan meletakkan bekas Panglima ATM berusia 65 tahun itu dipersetujui pimpinan Dewan Tertinggi BN serta pemimpin akar umbi parti itu di Parlimen Kemaman.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU15 November lalu, penyandang kerusi Parlimen Kemaman, Che Alias berjaya mempertahankan kerusi yang dimenanginya sebelum ini menewaskan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Said dengan memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

Che Alias memperoleh undi 65,714 undi manakala Ahmad mendapat 38,535 undi.