Pencemaran Sungai Semenyih: 45 kilang di Nilai selesai diperiksa

Anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 membawa sampel-sampel yang diambil ekoran pencemaran sisa bahan buangan terjadual yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab di anak sungai Mantin, kelmarin. Kerja-kerja pembersihan bahan kimia dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan. - Foto Bernama
Anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 membawa sampel-sampel yang diambil ekoran pencemaran sisa bahan buangan terjadual yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab di anak sungai Mantin, kelmarin. Kerja-kerja pembersihan bahan kimia dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 45 premis kilang di sekitar Nilai yang menghasilkan buangan pelarut dan minyak yang merupakan bahan pencemar telah diperiksa Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, setakat ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, ia bertujuan bagi mencari premis yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran bau di Sungai Semenyih sehingga menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, Selangor Sabtu lepas.

“Pemeriksaan berkenaan meliputi semua kilang sama ada ia berlesen atau sebaliknya. Daripada yang diperiksa, kita masih belum dapat kenal pasti dan kita masih menyiasat lagi dan akan maklumkan hasil siasatan ini kemudian.

ARTIKEL BERKAITAN: Bau busuk di anak sungai Mantin dipercayai akibat bahan kimia tumpah

Air Selangor mohon maaf...

“Bagaimana pun, kita akan teruskan pemeriksaan bagi pastikan bahan tercemar ini hanya boleh dilupuskan di pusat pengurusan sisa Kualiti Alam Sdn Bhd di Sendayan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi tumpahan minyak dipercayai bahan kimia di dalam anak Sungai Belihoi, Mantin di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan JAS pada Selasa lepas bahawa terdapat 46 premis kilang di Nilai yang turut menjadi fokus pemeriksaan jabatan itu bagi mencari premis yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran bau di Sungai Semenyih akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab membuang bahan sisa buangan haram di lurang pembetungan sekitar loji milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd.

Ekoran insiden itu itu, LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya dan sebanyak 366 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah terjejas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai pencemaran yang berlaku di anak sungai Belihoi semalam, Veerapan memberitahu bahawa keputusan analisa sampel air dan bahan kimia yang telah diambil daripada lokasi tersebut akan diketahui dalam tempoh dua minggu.

“Kita tunggu analisa Jabatan Kimia untuk kenal pasti (kandungannya) dan saya telah arahkan JAS untuk membuat penyiasatan terhadap kilang-kilang yang memproses minyak terpakai supaya kita dapat ambil tindakan sewajarnya. Kita nak pastikan mereka ini sama ada mematuhi peraturan atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kes berkenaan merupakan kes kedua pencemaran akibat pembuangan sisa berjadual haram berlaku pada tahun ini di negeri ini selepas yang pertama di Sungai Anak Air Garam di Mambau, dekat sini, 9 Disember lepas dan percaya ia dilakukan oleh pihak sama.

“Kalau lihat bahan kimia yang didapati di sini, ia adalah sama seperti yang terdapat di Sungai Anak Air Garam. Kemungkinan bahan ini dari tempat lain, mungkin Selangor atau kilang-kilang berdekatan. Kita akan siasat dan cari siapa yang bertanggungjawab,” katanya.

Veerapan dalam pada itu berkata, kerja-kerja pembersihan bahan kimia berkenaan kini sedang giat dilakukan dan dijangka selesai hari ini serta menegaskan bahawa kualiti air dan udara di kawasan berkenaan telah kembali normal. - Bernama