Isu kenaikan cukai MBPG: Kerajaan negeri perlu campur tangan

Abdul Halim menyampaikan sumbangan kepada penduduk di kawasan Tebrau, Johor Bahru yang menjadi mangsa kejadian tanah runtuh dalam kejadian baru-baru ini.
Abdul Halim menyampaikan sumbangan kepada penduduk di kawasan Tebrau, Johor Bahru yang menjadi mangsa kejadian tanah runtuh dalam kejadian baru-baru ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri perlu campur tangan isu kenaikan cukai mendadak Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang bermula tahun depan.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, kepimpinan kerajaan negeri perlu memainkan peranan sebagai orang tengah antara penduduk setempat dan MBPG dalam menyelesaikan isu berkenaan.

"Saya tidak mahu isu ini mencalarkan imej kerajaan Johor pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dikenali cekap, berkebajikan dan berjaya menyelesaikan pelbagai permasalahan dihadapi rakyat.

"Pada masa sama penduduk Pasir Gudang berhak bersuara dan berasa marah dengan tindakan MBPG yang mahu menaikkan kadar cukai harta sehingga 40 peratus bermula tahun depan," katanya mengulas rancangan MBPG dalam melaksanakan Nilaian Baharu Cukai Harta pada 1 Januari 2024.

Terdahulu Ketua UMNO Bahagian Tebrau itu menyampaikan sumbangan kepada penduduk kawasan Tebrau ekoran kejadian tanah runtuh baru-baru ini.

Rabu lalu, Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd Amin Ahmad memberitahu, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sedia menimbang pelaksanaan cukai baharu tersebut yang sebelum ini ditetapkan kenaikannya antara 40 sehingga 50 peratus.

Beliau dilaporkan berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan pertengahan bulan ini bagi memutuskan kadar yang akan dipersetujui nanti.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, kadar kenaikan tersebut tidak munasabah dan merupakan beban besar kepada segenap lapisan rakyat setempat.

Katanya, langkah berkenaan tidak sesuai dilaksanakan dalam suasana ekonomi beransur pulih pasca pandemik Covid-19.

"Sepatutnya MBPG lebih peka dengan keperluan, tekanan dan kebajikan rakyat sebelum buat cadangan kenaikan sampai kadar 40 peratus itu. Biarlah tindakan dibuat tidak mengheret rakyat ke arah bebanan kewangan.

"Jika dibandingkan dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), kenaikan kadar cukai jauh lebih rendah. Banyak pihak membantah cadangan itu sama ada melalui saluran rasmi mahupun bukan tetapi MBPG buat buta dan pekak seperti tidak hirau denyut nadi rakyat," katanya.

Abdul Halim berkata, pihaknya difahamkan majoriti Ahli Majlis MBPG tidak bersetuju dengan langkah tersebut yang dianggap mendadak dan tinggi.

"Saya dimaklumkan dalam mesyuarat, Ahli Majlis MBPG bersetuju jika kadar kenaikan cukai harta itu dibuat secara berperingkat iaitu dengan kadar 20 peratus setiap tahun untuk tempoh lima tahun.

"Sekiranya bantahan daripada Ahli Majlis sendiri pun pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tidak pedulikan, jadi MBPG mendengar suara siapa dalam menjalankan urusan pentadbiran mereka," soalnya.