Harap FAM bagi 'diskaun' harga tiket

Hannah (tengah) bersama peserta yang menyertai Persidangan Wanita Dalam Sukan ASEAN 2023 di Subang Jaya, Selangor pada Selasa. - Foto Bernama
Hannah (tengah) bersama peserta yang menyertai Persidangan Wanita Dalam Sukan ASEAN 2023 di Subang Jaya, Selangor pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta membuat pertimbangan menurunkan harga tiket aksi pertama Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau telah menerima pelbagai reaksi daripada penyokong bola sepak tempatan yang meminta harga tiket aksi tersebut dapat dikurangkan.

“FAM sudah buat keputusan untuk guna Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi hal ini bukan saja mengenai rumput tetapi persekitarannya. Itu sebabnya sekarang apa yang diperlukan adalah penyokong beli tiket untuk bersama pasukan.

“Saya juga melihat komen yang meminta Tiket Rahmah supaya lebih ramai beli dan saya pun sudah sampaikan kepada (Presiden FAM) Datuk Hamidin (Mohd Amin). Sekarang saya sedang menunggu maklum balas daripada FAM.

“Sebaiknya boleh untuk kita memperbanyakkan lagi jualan tiket supaya Harimau Malaya dapat dengar sokongan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Wanita Dalam Sukan ASEAN 2023 di Subang Jaya, Selangor pada Selasa.

Sebelum ini, FAM menetapkan harga tiket kategori terbuka adalah RM40 untuk dewasa dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun), manakala RM60 (grandstand) dan RM80 (premium).

Dalam pada itu, Hannah mengesahkan KBS akan meneruskan tradisi skrin layar gergasi supaya lebih ramai penyokong Harimau Malaya khususnya di luar Lembah Klang dapat menyaksikan perlawanan tersebut.

“Soal hak penyiaran dikendalikan FAM. Tetapi apa yang KBS boleh bantu adalah kita akan selalu buat skrin gergasi supaya lebih ramai rakyat yang tidak beli tiket boleh akses di semua lokasi seluruh Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, Hannah akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenai isu individu dalam komuniti sukan yang mengelak membayar cukai.

Beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan berhubung perkara berkenaan kerana fokus kementerian ketika ini adalah kepada Bajet.

Malah beliau memberitahu, kementeriannya mempunyai hubungan yang baik dengan LHDN dan hal tersebut dijangka dibincangkan tahun depan.

"Fokus sekarang adalah untuk Bajet terlebih dahulu. Nanti bila perkara ini selesai barulah kita akan adakan perbincangan dengan LHDN," katanya.

Arena sukan negara sebelum ini dikejutkan dengan laporan dakwaan ada dalam kalangan komuniti sukan culas membayar cukai yang mencecah 243 kes tunggakan melibatkan kerugian kira-kira RM15.837 juta.

Berdasarkan statistik pembayar cukai LHDN, jenis sukan yang menyumbang paling banyak adalah bola sepak dan diikuti badminton.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berpandangan bahawa isu tersebut bukan salah atlet semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, ketirisan itu berlaku kerana kurang kesedaran dalam kalangan atlet, justeru LHDN atau Majlis Sukan Negara (MSN) perlu memainkan peranan masing-masing.

Artikel Berkaitan: