Manfaat aura Stadium Nasional Bukit Jalil

Shahrul mengharapkan Pan-gon dapat memberikan peluang untuknya beraksi.
Shahrul mengharapkan Pan-gon dapat memberikan peluang untuknya beraksi.
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya akan menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri untuk menundukkan Kyrgyzstan pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Pemain pertahanan negara, Shahrul Saad berkata, pasukan negara akan turun dengan persembahan terbaik selain percaya mempunyai keupayaan untuk menundukkan pasukan di ranking ke-97 dunia itu.

"Kita bermain di tempat sendiri dan saya rasa kita boleh menggunakan kelebihan yang ada untuk mendapatkan kemenangan.

"Sejak hari pertama (di kem latihan pusat), kita dah tengok game pasukan Kyrgyzstan. Kita dah tahu pemain yang mereka ada dan saya harap kita mampu lakukan sesuatu dalam perlawanan akan datang ini," katanya ketika latihan skuad negara.

Harimau Malaya akan mengharungi aksi pertama Kumpulan D menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 November sebelum berlepas ke Taipei City bagi perlawanan kedua bertemu Taiwan pada 21 November.

Dalam pada itu, tonggak pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tekad mahu menambat kembali hati pengendali pasukan negara, Kim Pan-gon selepas terpaksa berehat panjang akibat kecederaan sejak tahun lalu.

Menurut Shahrul, dia berazam untuk kembali mendapatkan minit permainan dan berjanji akan memberikan yang terbaik sekiranya diturunkan oleh Pan-gon.

"Sebagai pemain, mestilah saya nak dapatkan kembali minit permainan pada tahun ini dan saya menantikan peluang bersama pasukan kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya sangat berharap dapat bermain dalam kem kali ini dan Insya-ALLAH jika diberikan peluang, sudah tentu saya akan beri yang terbaik untuk pasukan Malaysia," katanya.