Harimau Malaya boleh 'makan' Kyrgyzstan, Taiwan

Hamidin - Foto Bernama
Hamidin - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin optimis Harimau Malaya mampu mengatasi Kyrgyzstan dan Taiwan dalam saingan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Beliau berkata, peluang dilihat lebih seimbang untuk skuad kendalian Kim Pan-gon apabila melayan kunjungan Oman di laman sendiri pada Mac tahun depan.

Berdasarkan prestasi Harimau Malaya sejak kebelakangan ini, Hamidin berkata, keyakinannya terhadap kemampuan skuad negara berada pada tahap lebih 50 peratus untuk mara ke peringkat seterusnya bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.

"Kita usaha cukup tinggi dan pasukan ini boleh makan Kyrgyzstan dan Taiwan, Oman pula 50-50 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Ini merupakan ujian buat Pan-gon memandangkan kita akan main di laman sendiri dan di luar pada pusingan kelayakan nanti.

"Kalau tanya saya, ada keyakinan 55 peratus.

"Sebagai presiden saya perlu yakin, ini bukan main-main tetapi semua kena buat kerja dari jurulatih, pegawai, pemain dan kakitangan.

"Bagaimanapun, itu semuanya dengan izin ALLAH SWT,” katanya kepada pemberita di sini.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau turut mencabar barisan pemain serta kejurulatihan agar mara sejauh mungkin dalam peringkat Kelayakan Piala Dunia 2026.

Malaysia membuka tirai saingan Kumpulan D pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan yang menduduki ranking ke-97 dunia Khamis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum aksi di tempat lawan menentang Taiwan (ranking ke-152) pada 21 November.

Selepas dua perlawanan bulan ini, Malaysia berkedudukan ke-137, dijadual bertemu pasukan ke-72 dunia Oman di tempat lawan dan sendiri tahun hadapan masing-masing pada 21 dan 26 Mac, bertemu Kyrgyzstan di Bishkek (6 Jun) dan Taiwan (11 Jun) di Malaysia.

Mengikut format saingan, dua pasukan terbaik kumpulan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan layak ke Piala Asia, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan bermain dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.

Sementara itu, Hamidin menuntut para pemain Harimau Malaya mengekalkan konsistensi ketika menentang pasukan dari Asia yang mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada mereka selepas ini.

"Saya dapat lihat apabila berdepan pasukan yang besar, semangat dan keyakinan pasukan negara lebih tinggi,” katanya.

Malaysia sebelum ini pernah mencatat keputusan memberangsangkan mengikat dua pasukan di kelompok 100 dunia iaitu Syria 2-2 dan China 1-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada September lepas diikuti menang 4-2 ke atas India (102 dunia) pada Pestabola Merdeka 2023 bulan lepas. - Bernama