Brendan tak gentar perang psikologi Kyrgyzstan

Brendan Gan (dua dari kanan) bersama skuad Harimau Malaya menjalani Sesi Kem Latihan sebagai persediaan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Wisma FAM Kelana Jaya pada Ahad. - Foto: Bernama
Brendan Gan (dua dari kanan) bersama skuad Harimau Malaya menjalani Sesi Kem Latihan sebagai persediaan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Wisma FAM Kelana Jaya pada Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A

PERANCANG tengah Harimau Malaya, Brendan Gan mengakui tidak gentar untuk berdepan Kyrgyzstan pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Beliau berkata, biarpun perang psikologi dilancarkan Ketua Jurulatih Kyrgyzstan, Stefan Tarkovic membabitkan beberapa perkara, ia tidak mendatangkan kegusaran berikutan percaya akan kualiti dimiliki rakan sepasukan dalam mengekang kemaraan pasukan ranking ke-97 dunia itu.

"Kami hanya datang ke sini untuk menjalankan tugas. Kami perlu fokus terhadap apa yang kami mahu buat dan bagaimana kami mahu permainan kami,” katanya ketika ditemui pada latihan pusat di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya pada Ahad.

Sebelum ini, difahamkan Stefan mengeluarkan senarai nama pemain yang bakal membawa cabaran Kyrgyzstan untuk dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Malaysia 16 November dan menentang Oman pada 21 November.

Senarai tersebut antaranya menamakan pemain yang pernah bermain di kancah Liga Malaysia iaitu Mirbek Akhmataliev (PDRM FC) dan Tamirlan Kozubaev (PKNS FC) yang difahamkan kononnya mempunyai maklumat akan kelemahan skuad negara.

Pasukan itu dalam perkembangan lain pula memaklumkan tidak akan menurunkan beberapa pemain utama mereka di saat-saat akhir berikutan kecederaan sebagai salah satu elemen dalam perang psikologi itu.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Kumpulan D menentang Kyrgyzstan sebelum akan ke Taipei City bagi perlawanan kedua bertemu Taiwan pada 21 November.

Sementara itu, Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon menerusi kenyataan FAM pada Ahad, membuat keputusan memanggil pemain pertahanan kiri daripada Sabah FC, Daniel Ting yang sebelum ini berada dalam Senarai Bersedia untuk melapor diri ke kem latihan pusat bermula hari ini.

Artikel Berkaitan:

Khidmat Daniel itu ditagih bagi menggantikan tempat Azam Azmi Murad daripada Terengganu FC yang terpaksa dilepaskan berikutan terdapat kebimbangan terhadap kecederaan pada lututnya selepas disahkan doktor. - Bernama