Penduduk Lipat Kajang Perdana diancam runtuhan tanah

Penduduk Taman Lipat Kajang Perdana melihat runtuhan tanah yang berlaku berhampiran Jalan LKP8.
Penduduk Taman Lipat Kajang Perdana melihat runtuhan tanah yang berlaku berhampiran Jalan LKP8.
A
A
A

JASIN - Kira-kira 200 penduduk di Jalan LKP8, Taman Lipat Kajang Perdana, dekat sini hidup dalam kegusaran selepas diancam hakisan tanah yang berterusan sejak Jun tahun lalu.

Lebih membimbangkan, hakisan yang berlaku di tanah tambak yang sebelum ini dijadikan sebagai tempat tadahan air bagi perumahan itu, kini semakin buruk dan teruk apabila kawasan runtuhan itu semakin besar.

Penduduk, Shukor Abdul Jalil, 59, berkata, dari awal insiden itu berlaku penduduk telah memaklumkan kepada pihak berkaitan namun mendakwa tiada tindakan penyelesaian diambil bagi menghentikan runtuhan itu.

Menurutnya, sekiranya tindakan diambil segera sejak tahun lalu, pasti peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih tidak melibatkan kos besar seperti keadaan sekarang sekali gus menyifatkannya satu pembaziran.

Malah katanya, keadaan semakin memburuk dan kawasan hakisan serta runtuhan tanah juga semakin hampir dengan kediaman penduduk.

Keadaaan runtuhan tanah di Taman Lipat Kajang Perdana seperti kawah dengan saiz runtuhan semakin lebar. Gambar kecil: Shukor, Suhaimi, Tijah
Keadaaan runtuhan tanah di Taman Lipat Kajang Perdana seperti kawah dengan saiz runtuhan semakin lebar. Gambar kecil: Shukor, Suhaimi, Tijah

"Dulu hakisan dalam 30 kaki tapi bila tiada tindakan, sekarang dianggarkan lebih 100 kaki seolah-olah seperti sebuah kawah.

"Berbulan-bulan berlalu, saya pun dah jumpa pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) tapi jawapannya masih menunggu tender," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi pesara, Tijah Karim, 58, berkata, dia yang mempunyai tiga orang cucu bimbang sekiranya mereka bermain di padang memandangkan keadaan runtuhan tersebut berdekatan dengan padang permainan terbabit.

"Risau bila mereka bermain di luar rumah, haraplah tindakan segera dapat dilakukan sebelum berlaku kemalangan jiwa dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Taman Lipat Kajang Perdana, Suhaimi Ahmad berkata, taman perumahan itu didiami lebih 2,000 penduduk, namun penduduk yang tinggal berdekatan dengan kawasan runtuhan itu berjumlah 200 orang.

Menurutnya, masalah itu telah dipanjangkan kepada pihak berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidira Abu Zahar, namun sehingga sekarang belum nampak solusi yang boleh membuatkan penduduk mampu menarik nafas lega.

Runtuhan tanah yang berlaku di taman itu sejak Jun tahun lalu.
Runtuhan tanah yang berlaku di taman itu sejak Jun tahun lalu.

Katanya, penduduk bukan mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, namun berharap tindakan segera dapat dilakukan lebih-lebih lagi telah 80 peratus runtuhan berlaku di kawasan tanah rezab berkenaan.

"Bila hujan boleh tengok sendirilah keadaan daripada sedikit sekarang dah hampir keseluruhan dan hampir 80 peratus kawasan tanah ini telah runtuh.

"Kepada pihak berkenaan jalankan lah tanggungjawab ini dan masalah rakyat yang harus diselesaikan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!