Henti jual minyak dan gas kepada Israel, sekutu - Tun M

Mahathir - Foto Bernama
Mahathir - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengeluar minyak dari negara Islam digesa menghentikan penjualan bekalan minyak dan gas bukan hanya kepada Israel malah sekutunya Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah tersebut adalah antara salah satu tekanan yang boleh diambil oleh negara Islam terhadap Zionis yang sedang melakukan pembunuhan besar-besaran terhadap rakyat Palestin.

"ALLAH SWT telah mengurniakan begitu banyak minyak kepada negara-negara Islam tetapi kita boleh nafikan bekalan agar mereka merasa kesannya," katanya pada sidang akhbar Penghentian Sekatan Bantuan Kemanusiaan Dunia ke Gaza di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Menurutnya, sekarang bukan lagi masa untuk melaungkan retorik semata-mata, sebaliknya tindakan fizikal perlu diambil.

"Sesiapa sahaja boleh mengecam (jenayah Zionis) tetapi sebenarnya kita juga boleh melakukan sekatan ke atas mereka dengan seluruh dunia bersatu meneruskan inisiatif boikot produk negara-negara berkenaan," katanya.

Beliau berkata, negara-negara yang mengecam pembunuhan beramai-ramai oleh Israel perlu bersatu agar tindakan dan nada sama boleh dicapai.

"Berjaya atau tidak itu soal lain, ini salah satu tindakan yang boleh diambil.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin kurang berkesan tetapi apabila ramai mengambil tindakan boikot, syarikat berkenaan akan bankrap," katanya.

Mahathir (tengah) bercakap kepada pemberita pada sesi sidang media mengenai Gerakan Kemanusiaan: Hentikan Sekatan Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Selasa. Turut sama Nadzim (dua dari kiri) dan Mohd Azmi (dua dari kanan). - Foto Bernama
Mahathir (tengah) bercakap kepada pemberita pada sesi sidang media mengenai Gerakan Kemanusiaan: Hentikan Sekatan Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Selasa. Turut sama Nadzim (dua dari kiri) dan Mohd Azmi (dua dari kanan). - Foto Bernama

Dalam pada itu, beliau menggesa Mesir supaya membenarkan wanita dan kanak-kanak Palestin keluar menerusi satu-satunya pintu iaitu Lintasan Sempadan Rafah bagi mendapatkan perlindungan sementara lelaki terus mempertahankan tanah air mereka.

"Saya rasa terkilan dan tidak berperikemanusiaan.

"Perlindungan itu sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada pelarian berkenaan.

"Justeru, saya harap negara-negara Islam di sekitar Palestin termasuk Mesir menerima sekurang-kurangnya pelarian wanita dan kanak-kanak untuk berlindung," katanya.

Mahathir juga turut mengecam tindakan AS yang menggunakan kuasa veto untuk menyekat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar pasukan pengaman.

"Pasukan pengaman bertujuan untuk mengurangkan pembunuhan tetapi di Gaza, AS tidak hantar sebab menggunakan kuasa veto di dalam PBB," katanya.

Sementara itu, Zulkifli mahu lintasan sempadan Rafah dibuka sepenuhnya bagi membenarkan bantuan kemanusiaan seperti makanan, minuman dan pasukan perubatan dihantar ke Gaza.

“Kita bukan hantar pasukan ketenteraan tetapi mahu menghantar pasukan pengaman," katanya.