Islam, bukan Islam perlu bersama-sama bantu Palestin

Setiap umat Islam wajib menyokong serta membantu rakyat Palestin dalam perjuangan untuk membebaskan negara mereka daripada cengkaman penjajah Israel. - Foto AFP. Gambar kecil: Wan Salim
Setiap umat Islam wajib menyokong serta membantu rakyat Palestin dalam perjuangan untuk membebaskan negara mereka daripada cengkaman penjajah Israel. - Foto AFP. Gambar kecil: Wan Salim
A
A
A

GEORGE TOWN - Setiap umat Islam wajib menyokong serta membantu rakyat Palestin dalam perjuangan untuk membebaskan negara mereka daripada cengkaman penjajah Israel.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, perlu ditegaskan bahawa Islam tidak menentang penganut agama Yahudi sebaliknya menentang penjajah Israel, pendatang negara Eropah serta dari merata dunia yang mendiami bumi Palestin dengan mengusir penduduk asal menjadi pelarian di beberapa negara jiran.

"Kita tidak menentang penganut Yahudi sebaliknya mereka bertindak kejam yang mengusir rakyat Palestin keluar dari negara mereka serta menganiayai dan melayan dengan teruk rakyat negara itu yang masih tinggal di sana.

"Justeru setiap individu Muslim malah orang bukan Islam, atas nama kemanusiaan, perlu membantu perjuangan rakyat Gaza dan Palestin dengan apa jua bantuan mengikut kemampuan masing-masing.

"Mereka yang ingin membantu dalam bentuk kewangan boleh menyalurkannya menerusi akaun badan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Wan Salim berkata, bantuan juga boleh dibuat dengan cara memboikot produk syarikat-syarikat yang terbukti memberi sumbangan kepada negara haram tersebut.

Orang ramai perlu membantu perjuangan rakyat Gaza dan Palestin dengan apa jua bantuan mengikut kemampuan masing-masing termasuk bantuan kewangan. - Gambar hiasan Foto Bernama
Orang ramai perlu membantu perjuangan rakyat Gaza dan Palestin dengan apa jua bantuan mengikut kemampuan masing-masing termasuk bantuan kewangan. - Gambar hiasan Foto Bernama

"Bagaimanapun, tindakan memboikot ini perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menganiayai syarikat yang tidak menyumbang kepada tujuan tersebut seperti restoran McDonald’s Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana, pengurusan rangkaian restoran berkenaan telah berkali-kali menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menyumbang kepada negara Israel," katanya.

Ujarnya, beliau menyokong tindakan memboikot produk syarikat-syarikat yang terbukti memberi sumbangan kepada Zionis yang memerangi umat Islam di Palestin.

"Tindakan sedemikian diharap sekurang-kurangnya mampu memberi sedikit tekanan kepada syarikat-syarikat tersebut supaya mengkaji semula pendirian mereka terhadap isu Palestin.

"Bagaimanapun, bagi mereka yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan dan tidak mendapat peluang pekerjaan yang lain untuk membiayai kehidupan diri serta keluarga, maka mereka diharuskan bekerja di syarikat-syarikat berkaitan Israel.

"Kecuali bagi pekerjaan yang boleh digunakan oleh rejim berkenaan untuk memerangi umat Islam seperti bekerja di kilang mengeluarkan senjata misalnya," tambah beliau lagi.