Rakyat Palestin kecewa dengan hasil sidang kemuncak Arab-Islam

Rakyat Palestin dilihat dalam perjalanan dari Kota Gaza ke arah selatan, di tengah Semenanjung Gaza, pada Jumaat. - Foto Xinhua
Rakyat Palestin dilihat dalam perjalanan dari Kota Gaza ke arah selatan, di tengah Semenanjung Gaza, pada Jumaat. - Foto Xinhua
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Palestin di Gaza menyuarakan kekecewaan dengan resolusi yang diluluskan pada Sidang Kemuncak Tergempar Islam-Arab, sebaliknya mereka menggesa dunia Islam mencari jalan penyelesaian yang benar-benar praktikal untuk menamatkan pencerobohan Israel.

Ahli Majlis Hubungan Antarabangsa Palestin, Dr Abdullah Waleed berkata, sama seperti mesyuarat antarabangsa sebelum ini seperti Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB berkaitan rakyat Palestin, sidang kemuncak itu juga tidak mencapai apa yang diharapkan.

"Jika anda tanya kepada mana-mana rakyat Palestin di Gaza, mereka sangat kecewa, amat kecewa dengan resolusi yang dicapai meskipun seperti apa yang saya katakan, ucapan (pemimpin Islam) itu baik, menunjukkan solidariti dan sokongan mereka.

"Bahasa mereka sangat jelas iaitu mengutuk dan menyalahkan Israel tetapi pada hakikatnya, apa yang kami mahukan ialah resolusi yang praktikal," katanya kepada Bernama dari Rafah ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Abdullah berkata, penduduk Gaza berharap dunia Islam akan mengambil langkah yang benar-benar berkesan untuk menekan Israel dan sekutunya untuk menghentikan serangan dan menarik balik kepungan.

Beliau mahu dunia Arab menghentikan eksport minyak ke Israel dan sekutunya selain memutuskan hubungan diplomatik untuk menekan rejim itu.

"Percayalah, Israel akan menghentikan serangan kerana perkara itu penting untuk Eropah dan Amerika.

"Arab terutamanya negara Teluk, jika mereka mengambil keputusan untuk menghentikan penjualan minyak untuk sehari sahaja, saya yakin dunia terhenti serta-merta,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tindakan Israel mengebom kedai roti di utara Gaza menambahkan lagi kesengsaraan penduduk. - AFP
Tindakan Israel mengebom kedai roti di utara Gaza menambahkan lagi kesengsaraan penduduk. - AFP

Malah semasa membalas pertanyaan Bernama melalui Whatsapp, beliau berkata, bunyi letupan bom kedengaran dari rumahnya sewaktu tentera laut Israel membedil pesisir pantai.

Pada masa sama, kereta kebal Israel membanjiri di timur Gaza dan pesawat tentera penceroboh membedil kawasan kediaman.

"Semalam (Sabtu) ketika kami mahu tidur, kapal terbang Israel menyasarkan sebuah rumah di Rafah dan membunuh beberapa penghuninya," katanya sambil menambah, kejadian seperti ini (menghentikan serangan) adalah sebenarnya tuntutan penduduk Gaza kerana pembunuhan berterusan setiap minit.

Abdullah berkata, amat mengecewakan apabila bantuan kemanusiaan tertakluk kepada kelulusan Israel sedangkan rejim itu yang menyekat kemasukan bahan api yang sangat diperlukan walaupun sempadan Rafah adalah antara Gaza dan Mesir.

"Kami menyeru Mesir dan dunia Arab untuk mengambil pendirian bersatu menentang Israel dan menyatakan bahawa keputusan itu perlu dibuat oleh dunia Arab dan Islam, kami tetap akan masuk ke Gaza walaupun ditekan oleh Israel dan Amerika Syarikat.

"Ini sebenarnya apa yang kami harapkan daripada sidang kemuncak itu,” katanya.

Sidang kemuncak tergempar bersama pada Sabtu itu, antara lain menggesa Majlis Keselamatan PBB mengambil keputusan yang tegas dan mengikat untuk mengenakan gencatan senjata di Gaza dan mengekang tindakan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Dalam Pernyataan Akhir yang dikeluarkan, sidang kemuncak itu mahu pengepungan ke atas Gaza ditamatkan bagi membolehkan kemasukan segera konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Sementara itu, sukarelawan Palestin, Dr Tareq M Altalmas berkata, apa yang diharapkan daripada sidang kemuncak itu ialah pemimpin Islam mengambil langkah dan pendekatan yang lebih berani.

"Jika ada di antara mereka yang benar-benar berani. "Pemimpin Islam mesti datang dan masuk ke Gaza.

"Banyak pemimpin Barat pergi ke Israel tetapi tiada siapa yang berani masuk ke Gaza,” katanya.

Tareq yang juga penyelaras Global Peace Mission Malaysia (GPM) berkata, penduduk Gaza tidak mengharapkan dunia Islam untuk mengerahkan pasukan tentera ke Gaza tetapi berharap menekan Israel untuk menghentikan serangan dan memudahkan bantuan kemanusiaan masuk tanpa halangan.

Tareq yang kini berada di selatan Semenanjung Gaza berkata, beliau dan pasukan sukarelawannya akan tetap terus membantu penduduk Gaza walaupun kehabisan barangan keperluan di pasaran.


Kanak-kanak di Gaza kumpulan paling berisiko terkena wabak penyakit bawaan air seperti taun.
Kanak-kanak di Gaza kumpulan paling berisiko terkena wabak penyakit bawaan air seperti taun.

"Baru-baru ini kami membantu dengan memberi wang tunai kepada penduduk yang dipindahkan dan mereka cuba mencari jalan untuk membeli sendiri barangan yang diperlukan.

"Kadangkala mereka akan membeli barangan keperluan mereka daripada orang lain,” katanya sambil menambah kini terdapat kira-kira 700,000 orang masih berada di utara Semenanjung Gaza.

Beliau turut menekankan kepentingan membenarkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) memasuki kawasan itu memandangkan ribuan rakyat Palestin dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan bangunan akibat serangan udara Israel.

Beliau berkata, Pertahanan Awam Gaza sudah lumpuh dan GPM turut membantu dalam usaha SAR menggunakan dua kenderaan pertahanan awam yang di kitar semula.

"Jabatan pertahanan awam di Gaza perlu dipulihkan semula.

"Kami (GPM) mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan mereka dan saya tahu keadaan mereka,” katanya.

Jumlah korban akibat serangan berterusan tentera penceroboh Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober sudah melepasi angka 11,540, termasuk lebih 8,000 wanita dan kanak-kanak manakala 28,200 lagi cedera, menurut Kementerian Kesihatan Palestin pada Isnin. - Bernama