KPM jamin semua kes buli akan disiasat

Fadhlina ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Fadhlina ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa semua aduan mengenai kes buli yang berlaku di sekolah akan disiasat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap aduan akan menjalani prosedur melibatkan tempoh satu hari aduan, tiga hari siasatan dan tujuh hari penyelesaian.

Beliau menjelaskan, KPM telah menetapkan semua kes buli juga perlu dilaporkan kepada pengetua untuk tindakan selanjutnya.

“Penyelesaian kes buli adalah 90 peratus selesai dalam tempoh 15 hari selepas diadu melalui portal Aduan Buli. Bagi kes yang belum selesai adalah kes yang memerlukan siasatan lanjut melebihi 15 hari.

“Peningkatan ini kalau kita ambil dari segi pendekatan advokasi (dan) akses, bermakna penyebaran tentang akses murid dan ibu bapa waris untuk mengadu lebih terbuka.

“Inilah yang kita jamin bahawa setiap aduan mesti disiasat mengikut tempoh satu, tiga, tujuh seperti yang saya sebut tadi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohammed Taufiq Johari (PH - Sungai Petani) mengenai prosedur aduan kes buli di sekolah dan langkah intervensi daripada KPM.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu memaklumkan, KPM mempunyai guru bimbingan dan kaunseling di sekolah untuk menangani isu tersebut.

“Guru ini akan memberi intervensi bersesuaian yang terkait rapat dengan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan murid supaya terjaga secara berterusan.

Artikel Berkaitan:

“Ia adalah sebagai bentuk perlindungan sementara di sekolah bagi melindungi mangsa semasa siasatan dijalankan,” jelasnya.