Bola jaring meniti era profesional?

NSL 2023 yang dimeriahkan dengan kehadiran 11 pemain import mungkin boleh membuka dimensi baharu sukan tersebut. - Foto Facebook NSL Gambar kecil: Husna
NSL 2023 yang dimeriahkan dengan kehadiran 11 pemain import mungkin boleh membuka dimensi baharu sukan tersebut. - Foto Facebook NSL Gambar kecil: Husna
A
A
A

KEHANGATAN Netball Super League (NSL) 2023 yang dimeriahkan dengan kehadiran 11 pemain import mungkin boleh membuka dimensi baharu sukan tersebut ke arah liga profesional pada masa depan.

Bekas pemain bola jaring negara, Husna Hussin Ali melihat idea itu sebagai bukan mudah, namun tidak mustahil dilaksanakan menerusi sokongan pelbagai pihak termasuk di peringkat nasional.

Malah beliau juga optimis keupayaan Malaysia yang mampu menghasilkan pemain yang bertaraf dunia dan profesional kerana skuad kebangsaan pernah bertanding pada kejohanan dunia dan Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur 25 tahun lalu.

“Ke arah profesional ini bukan tugas yang mudah tetapi bukan mustahil. Perjalanan yang masih panjang dan sokongan kesemua pihak amat diperlukan.

“Persefahaman dan kerjasama daripada akar umbi hingga ke peringkat nasional bagi memajukan sukan bola jaring. Lebih-lebih lagi peruntukan yang besar dan konsisten bagi menjalankan aktiviti-aktiviti akar umbi ke nasional perlu dititikberatkan.

“Pemantauan pengurusan tempatan ke kejohanan dunia dan latihan pendedahan di peringkat antarabangsa boleh menyumbang ke arah memajukan sukan bola jaring meniti ke arah profesionalisme,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

NSL 2023 yang menutup tirai di Bukit Kiara awal bulan ini disertai 11 pemain import dari tujuh negara iaitu Afrika Selatan, Singapura, United Kingdom, Thailand, Brunei, Sri Lanka dan Uganda yang meraih tempat kelima pada Piala Dunia lalu.

Artikel Berkaitan:

Antara aksi Johor Jewels menentang Putrajaya Dynamites dalam perlawanan NSL 2023 yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara baru-baru ini.
Antara aksi Johor Jewels menentang Putrajaya Dynamites dalam perlawanan NSL 2023 yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara baru-baru ini.

Mereka menyertai enam pasukan iaitu skuad juara NSL 2023, Johor Jewels, KL Wildcats, Negeri Sembilan Venoms, Perak Phoenix, Putrajaya Dynamites dan Terengganu Marvels, manakala Pahang Tulips dan Selangor Angels menaruh keupayaan kepada pemain tempatan.

Malah dua pemain Uganda yang mewakili Wildcats iaitu Nassanga Shadiah Ssegujja dan Nalwanja Shaffie beraksi di pentas berprestij bola jaring di Cape Town, Afrika Selatan Ogos lepas.

Dua lagi rakan mereka ialah Kadondi Falidah serta penjaring terbanyak Liga Uganda dan NSL 2023, Namulumba Christine Kango pula menyertai Phoenix.

Mengulas penglibatan tenaga import, Husna melihat penyertaan mereka telah mengubah corak permainan pasukan dan pembangunan potensi pemain tempatan.

Beliau berkata, gabungan mereka dengan pemain tempatan mewujudkan satu jalinan mantap menerusi perkongsian pengalaman, taktikal permainan dan mentaliti demi kemajuan sukan bola jaring negara.

Tambahnya, secara realiti jika mahu bermain bersama pemain luar negara mereka perlu mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat Asia dan memenangi kejohanan tersebut sebelum melayakkan diri ke kejohanan bola jaring dunia.

“Bagi mendapatkan satu ikatan atau chemistry untuk bermain mestilah datang daripada latihan. Ilmu atau idea yang berlainan akan dikongsi bukan sahaja untuk pemain tempatan malah bagi pemain import.

“Pengalaman dan teknik permainan dikongsi bersama. Pengalaman beraksi pada kejohanan di Malaysia mereka (pemain import) bawa pulang ke negara masing-masing,” ujar Husna yang mewakili negara dari 2004-2009.