'Gear tinggi' Harimau Malaya

Paulo Josue - Foto Facebook FAM
Paulo Josue - Foto Facebook FAM
A
A
A

PEMAIN naturalisasi negara, Paulo Josue menyifatkan skuad Harimau Malaya berada dalam 'gear tinggi' menjelang dua aksi penting Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 pertengahan bulan ini.

Skuad bimbingan Kim Pan-gon akan membuka kempen kelayakan berdepan pasukan di ranking ke-97 dunia, Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis, disusuli aksi menentang Taiwan di tempat lawan, lima hari kemudian.

Josue yang beraksi di posisi tengah percaya rakan sepasukan sedar mengenai komitmen besar yang perlu diberikan pada dua perlawanan penting tersebut.

Malah beliau memberitahu rakan sepasukan juga sudah melupakan kekecewaan selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan pada final Pestabola Merdeka bulan lalu.

“Kita perlu bersedia dengan cabaran untuk menentang mana-mana lawan. Namun kita belum menerima banyak maklumat mengenai Kyrgyzstan, tetapi kami tahu mereka adalah pasukan yang sukar.

“Ada beberapa lagi kelemahan yang perlu diperbaiki supaya kita mendapat keputusan positif laman sendiri.

“Semua pemain perlu serius dan lebih bertanggungjawab kerana ini bukan aksi persahabatan,” ujar Josue ketika ditemui media pada sesi latihan skuad negara di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Sabtu.

Kapten Kuala Lumpur (KL) City FC itu tidak beraksi pada Pestabola Merdeka kerana menghidap denggi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Josue turut menjelaskan barisan kejurulatihan mahu para pemain dominan dalam perlawanan tersebut untuk memburu kemenangan di laman sendiri.

Malah beliau berkata, para pemain juga sudah ditunjukkan kesilapan ketika pasukan tewas pada aksi final Pestabola Merdeka lalu dan perkara itu perlu dielak daripada berulang.

"Barisan kejurulatihan sudah beritahu punca kami kalah. Jadi kami perlu faham secepat mungkin dan selesaikan masalah itu supaya dapat beri aksi yang lebih baik,” katanya.