Aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia kekal di Bukit Jalil

Penjaga gol Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed membaiki semula keadaan rumput semasa perlawanan pembukaan Pestabola Merdeka, Malaysia menentang India di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Bernama
Penjaga gol Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed membaiki semula keadaan rumput semasa perlawanan pembukaan Pestabola Merdeka, Malaysia menentang India di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PERLAWANAN pertama Kumpulan D, Pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 membabitkan Harimau Malaya dan Kyrgyzstan pada 16 November ini akan kekal dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, perkara itu diputuskan selepas sesi pemeriksaan dan penilaian padang yang telah dibuat pada Khamis lalu.

"Pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menerusi pandangan dan nasihat daripada pihak konsultan teknikal serta kontraktornya telah menyatakan bahawa padang berkenaan kini dalam keadaan yang lebih baik berbanding ketika Pestabola Merdeka bulan lalu dan sedia untuk digunakan pada 16 November depan.

"Selain itu, keputusan untuk kekal bermain di Stadium Nasional ini juga mengambil kira faktor-faktor sampingan lain terutama bagi memudahkan lebih ramai penyokong Harimau Malaya hadir memberikan sokongan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, padang Stadium Nasional Bukit Jalil itu dikritik selepas mengalami kerosakan di beberapa bahagian ketika perlawanan Pestabola Merdeka yang berlangsung bulan lalu.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan sama ada padang tersebut boleh digunakan untuk aksi menentang Kyrgyzstan itu memandangkan waktu cukup singkat untuk diperbaiki.

Malah, Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyumbangkan dana untuk menukar rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional turut mengakui padang itu memerlukan masa untuk memastikan bersedia sepenuhnya digunakan.

Menurut Noor Azman, keputusan menggunakan padang itu juga mengambil kira banyak perkara selain pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon sendiri yang mahu aksi kelayakan itu dilangsungkan di Stadium Nasional.

Artikel Berkaitan:

"Dengan pengesahan terbaharu ini, segala persiapan menjelang perlawanan tersebut akan terus dipergiatkan bagi memastikan kelancarannya," katanya.

Selepas aksi bertemu Kyrgyzstan itu, skuad Harimau Malaya akan terbang untuk perlawanan kedua Kumpulan D menentang Taiwan pada 21 November.

Seterusnya Malaysia akan berdepan Oman di tempat lawan pada 21 Mac tahun depan dan di tempat sendiri pada 26 Mac, bertemu Republik Kyrgyz di tempat lawan pada 6 Jun dan menanti kunjungan Taiwan di laman sendiri pada 11 Jun.