Ayam jantan, anjing rottweiler dirampas

Ayam jantan yang dirampas dalam pemeriksaan di laluan kenderaan di Bukit Kayu Hitam di sini pada Selasa.
Ayam jantan yang dirampas dalam pemeriksaan di laluan kenderaan di Bukit Kayu Hitam di sini pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah merampas dua ekor anjing rottweiler dan dua ekor ayam jantan dalam pemeriksaan di laluan kenderaan di Bukit Kayu Hitam di sini pada Selasa.

Pengarah Maqis Kedah, P Lily Rosalind berkata, kesemua haiwan itu dirampas dalam pemeriksaan kira-kira jam 8.50 pagi selepas cuba dibawa masuk seorang rakyat tempatan.

Menurutnya, haiwan terbabit yang dianggarkan bernilai RM2,180 dipercayai cuba dibawa masuk dari Thailand menggunakan kenderaan jenis Toyota Hilux tanpa permit import dikeluarkan Maqis dan Sijil Kesihatan Veterinar.

"Perbuatan mengimport tanpa permit sah daripada Maqis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lily Rosalind berkata, pihak kerajaan mengawal pengimportan unggas hidup seperti ayam jantan dan anjing dari Thailand disebabkan penilaian risiko perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum kebenaran permit import dikeluarkan.

Menurutnya, selain itu Malaysia turut mengenakan larangan pengimportan unggas dari Thailand disebabkan penyakit virus selesema burung (H5N1) dan untuk mengawal virus anjing gila (rabies) yang boleh menyebabkan kematian kepada manusia sekiranya diserang haiwan berkenaan.

Katanya, Maqis sentiasa memandang serius isu di sempadan negara yang melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

"Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.

Artikel Berkaitan: