Piala Emas SSL: Tengku Amir suntik semangat The Monsoon

Tengku Amir (berdiri, tengah) bersama skuad pelayaran negara yang menyertai Kejohanan Pelayaran Piala Emas SSL di Gran Canaria, Sepanyol. - Foto SSL
Tengku Amir (berdiri, tengah) bersama skuad pelayaran negara yang menyertai Kejohanan Pelayaran Piala Emas SSL di Gran Canaria, Sepanyol. - Foto SSL
A
A
A

SKUAD pelayaran negara yang menyertai Kejohanan Pelayaran Piala Emas Star Sailors League (SSL) di Gran Canaria, Sepanyol minggu ini menerima suntikan semangat dengan keberangkatan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah ke kejohanan itu.

Menerusi satu kenyataan pada Ahad, baginda berkenan menyaksikan kejohanan itu dan tiba pada 9 November lepas dengan disambut ketua pasukan, Megat Danial Megat Najmuddin serta anggota pasukan perahu layar yang lain, Khairulnizam Mohd Affendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif.

"Kami menjunjung kasih kepada baginda kerana meluangkan masa memberi sokongan moral untuk kami mengharungi saingan ini.

"Kami yakin akan mendapat tempat 20 teratas pada pusingan akhir ini," kata Megat Danial.

Skuad negara yang turut dikenali dengan jolokan The Monsoon diundi dengan Antigua and Barbuda, Ukraine dan Bermuda di Fleet Tiga pada pusingan 1/32.

Fleet Satu merangkumi Peru, Bulgaria, Slovenia dan Tahiti, manakala Fleet Dua menampilkan Portugal, Chile, Cuba dan Estonia, sementara Fleet Empat terdiri daripada Republik Czech, Lithuania, Afrika Selatan dan Oman.

Dua pasukan terbaik daripada setiap Fleet akan mara ke pusingan 1/16.

Untuk rekod, Malaysia mendapat tempat kedua di belakang Antigua and Barbuda dalam perlumbaan pertama pada 10 November lepas serta ketiga di belakang Antigua and Barbuda dan Ukraine pada perlumbaan kedua pada 11 November. - Bernama

Artikel Berkaitan: