Isham Jalil dedah mungkin dipecat UMNO minggu ini

Isham
Isham
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mendedahkan nama beliau mungkin tersenarai sebagai antara ahli yang akan dipecat pada mesyuarat parti itu minggu ini kerana mendakwa tidak mahu mempromosi DAP.

Isham mendakwa, terdapat ahli MKT UMNO pro-DAP menyuruhnya meletakkan jawatan, namun beliau enggan berbuat demikian memandangkan jawatan itu digalasnya ekoran dipilih oleh akar umbi.

"Saya dengar minggu ini ada beberapa lagi ahli UMNO akan dipecat dalam mesyuarat nanti. Ada ura-ura kata nama saya pun mungkin tersenarai.

"Terserah kepada kepimpinan parti dan MKT jika mereka mahu pecat saya.

"Perjuangan saya ikhlas kerana agama, bangsa dan tanah air dan bukan kerana kepentingan peribadi. Manusia boleh singkirkan manusia, namun ALLAH SWT menentukan kifarahnya," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Isnin.

Isham menegaskan, sebelum ini beliau sendiri yang menyerahkan jawatan Ketua Penerangan kembali kepada Presiden UMNO kerana memahami tugas jawatan yang perlu mempromosi DAP.

"Saya syukur tidak perlu menggalas tugas untuk menyuruh akar umbi kita sokong DAP kerana itu bertentangan dengan pendirian saya.

"Saya tidak gila jawatan, saya pernah tolak jawatan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebanyak dua kali," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Isham berkata, ahli MKT terbabit turut melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya termasuk kononnya beliau kerap tidak menghadiri mesyuarat parti dan menghasut ahli UMNO agar tidak mengundi Pakatan Harapan (PH).

"Dia kata kononnya saya suruh ahli UMNO jangan undi PH. Ini tidak benar. Saya tidak pernah suruh ahli UMNO jangan undi PH atau DAP. Ini adalah fitnah.

"Apa yang saya kata ialah saya akan fokus kepada kawasan UMNO. Boleh lihat dalam 'live' saya beberapa bulan lalu di Facebook. Yang tulis tajuk kononnya saya kata jangan undi PH itu adalah satu akhbar Cina dan itu tidak betul," katanya.

Beliau menjelaskan, pihak terbabit telah pun minta maaf kepadanya dan mengeluarkan pembetulan.

"Pembetulan ini telah pun saya maklumkan kepada MKT melalui grup WhatsApp beberapa bulan yang lalu semasa isu ini timbul.

"Boleh tanya ahli MKT yang lain untuk kepastian. Mungkin dia tidak baca juga, atau cuba fitnah saya lagi tanpa usul periksa," ujarnya.

Menurut Isham, ahli MKT tersebut turut mendakwa bahawa beliau bersetuju bergabung dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan semasa beliau memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO.

"Ya, saya setuju sebab itu titah Yang di-Pertuan Agong untuk bentuk kerajaan pada ketika itu tetapi saya tidak pernah setuju untuk pergi pilihan raya dengan PH.

"Berada dalam kerajaan dan pergi pilihan raya bersama adalah dua perkara yang berbeza.

"Seri Paduka Baginda tidak pernah titah kita pergi pilihan raya bersama PH. Jangan campur aduk dua perkara ini," tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!