Arsenal enggan terperangkap prestasi longlai City

ARTETA - FOTO: AFP
ARTETA - FOTO: AFP
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menegaskan pasukannya tidak akan memandang rendah kemampuan Manchester City menjelang pertembungan penting antara dua pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates pada tengah malam Ahad ini.

Arsenal yang kini mendahului carta liga memiliki kelebihan enam mata berbanding City di tangga ketiga menjelang aksi berkenaan.

City sebelum ini menguasai kedudukan teratas pada awal musim, namun prestasi mereka merosot sejak beberapa minggu kebelakangan ini apabila hanya mencatat satu kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir semua kejohanan serta gagal meraih kemenangan dalam empat aksi liga terakhir.

"Saya tidak tahu kerana itu soalan yang perlu ditujukan kepada mereka. Apa yang boleh saya katakan, apabila melihat mereka bermain, banyak perlawanan yang sepatutnya dimenangi berjaya dikuasai dengan lebih baik berbanding lawan. Namun, inilah bola sepak.

"Apabila beraksi di laman sendiri menentang pasukan besar, perlawanan seperti ini amat penting dalam perebutan kejuaraan. Kami sedar betapa besarnya kepentingan aksi berkenaan, tetapi perjalanan musim masih panjang," katanya.

Arteta turut menegaskan Arsenal hanya mampu memberi tumpuan kepada prestasi sendiri tanpa memikirkan keputusan pasukan lain.

Dalam masa sama, pengendali dari Sepanyol itu menyuarakan rasa hormat terhadap Maresca yang mengambil alih tugas sebagai pengurus City selepas era Pep Guardiola.

"Saya mengenali Enzo secara peribadi dan dia seorang yang luar biasa. Dia hidup dan bernafas dengan bola sepak serta sangat analitikal.

"Dia juga sedang membina kerjaya pengurusan yang hebat. Segalanya mengenai dirinya sangat positif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!