Duit tunai RM2,000 dalam 'peti ais' hangus

Siti Hajar melihat keadaan gerainya selepas kejadian.
Siti Hajar melihat keadaan gerainya selepas kejadian.
A
A
A

PORT DICKSON - Duit RM1 berjumlah lebih RM2,000 antara yang hangus dalam kejadian membabitkan sembilan gerai makan berhadapan Dataran Teluk Kemang di sini pada Sabtu.

Wang milik peniaga, Siti Hajar Abdul Talib, 51 itu diletakkan dalam peti ais yang tidak lagi digunakan dijadikan sebagai duit 'tukar' sepanjang berniaga di situ.

Siti Hajar berkata, dia cuba untuk menyelamatkan wang berkenaan bagaimanapun dihalang oleh anaknya susulan keadaan api ketika itu sudah mulai marak.

"Kejadian sekitar Maghrib, kebanyakan barang niaga saya tidak dapat diselamatkan, tambahan apabila cuti perayaan ini kami dah siapkan stok jualan banyak susulan pengunjung memang ramai waktu sebegini.

Siti Hajar
Siti Hajar

"Keuntungan pun lebih daripada hari biasa, namun bukan rezeki saya kali ini, saya berlapang dada mungkin ada rezeki lain lebih baik selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi pada Ahad.

Seorang lagi peniaga, Nur Ayu Nazira Abdullah, 21 berkata, lot perniagaanya turut musnah namun perniagaanya tetap diteruskan hari ini di lokasi sementara berikutan perniagaan itu merupakan mata pencarian utama keluarganya.

Nur Ayu Nazira
Nur Ayu Nazira

Artikel Berkaitan:

"Petang semalam kami ada terbau seperti getah terbakar jadi semua peniaga disini memeriksa gerai masing-masing namun tidak jumpa punca.

"Tidak sangka pula kebakaran bermula daripada gerai yang sudah lama tidak beroperasi bersebelahan gerai kami. Saya baru sahaja berniaga minuman di sini sejak lima bulan lalu, manakala suami Aliff Akram Ahmad pula berniaga Kemang Fried Chicken bermula 2019," katanya yang memaklumkan mereka mengalami kerugian lebih kurang RM40,000.

Stok perisa minuman milik Nur Ayu Nazira turut rosak.
Stok perisa minuman milik Nur Ayu Nazira turut rosak.

Dalam pada itu, penasihat Persatuan Penjaja Pantai Teluk Kemang, Nor Azila Abdul Hamid berkata, itu merupakan kejadian kedua berlaku membabitkan kawasan berkenaan dengan kejadian pertama pada tahun 2019.

Keadaan sebuah lot gerai yang musnah dalam kebakaran.
Keadaan sebuah lot gerai yang musnah dalam kebakaran.

"Buat masa ini peniaga yang terjejas dibenarkan berniaga berhadapan premis masing-masing sementara menunggu tindakan seterusnya daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) susulan gerai tersebut milik PBT," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Penguasa Kanan Bomba 2, Jelani Ahad berkata pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kebakaran dan akan mengeluarkan laporan dalam masa 14 hari.

Nur Ayu Nazira menunjukkan keadaan gerainya yang musnah.
Nur Ayu Nazira menunjukkan keadaan gerainya yang musnah.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, lima gerai terbakar 25 peratus manakala empat lagi 100 peratus terbakar, bagaimanapun kejadian ini tidak melibatkan kemalangan jiwa.